SIARAN MEDIA: FAM UMUM PETRONELLA SEBAGAI KETUA JURULATIH MALAYAN TIGRESS B-17

2023-04-05

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan Petronella Douny sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita B-17 kebangsaan yang baharu.

Pemilihan Petronella itu dibuat sejajar dengan visi FAM untuk memperkasakan lagi bola sepak wanita dengan membina skuad bola sepak wanita kebangsaan yang terdiri daripada kaum wanita.

Selain itu, beliau juga merupakan satu-satunya jurulatih wanita di Malaysia yang memiliki Lesen Kejurulatihan AFC/FAM A sekali gus menjadi salah satu faktor penyumbang kepada pemilihan Petronella sebagai ketua jurulatih skuad Malayan Tigress B-17.

Menurut Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell, Petronella pernah menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Malayan Tigress B-18 pada kempen Kejuaraan AFF Wanita B-18 di Palembang, Indonesia tahun lalu.

"Komitmen tinggi Petronella di dalam arena bola sepak wanita dapat dilihat menerusi pembabitan berterusan terhadap pembangunan sukan berkenaan di negeri kelahirannya iaitu Sabah.

"Selain itu, kebolehan serta kredibiliti Petronella sebagai seorang jurulatih juga boleh dilihat selepas diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad Malayan Tigress B-17 pada Kejohananan JENESYS 2022 di Okinawa, Jepun pada 17 hingga 21 Mac lalu.

"Saya berharap menerusi pelantikan Petronella ini, ia akan membuka lembaran baharu buat bola sepak wanita negara sekali gus dapat memberi inspirasi dan motivasi untuk para wanita di luar sana berkecimpung di dalam bidang kejurulatihan," kata Scott.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad senior Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi melihat pelantikan Petronella sebagai permulaan yang cukup baik bukan sahaja untuk skuad kebangsaan malah buat pertandingan domestik bola sepak wanita Malaysia.

“Saya dan Petronella sentiasa berkomunikasi dan berbincang mengenai sesi latihan serta program-program pembangunan untuk pemain-pemain kami yang boleh dilakukan bersama.

“Pengalamannya sebagai bekas pemain kebangsaan sejak 2002 hingga 2009 juga sudah tentu dapat membantu beliau dalam membentuk pemain-pemain muda di dalam skuadnya.

"Besar harapan saya untuk melihat lebih ramai lagi jurulatih-jurulatih yang terdiri dari kaum wanita mengendalikan pasukan di dalam negara,” kata Soleen.

 

PROFIL KETUA JURULATIH MALAYAN TIGRESS B-17

Nama Penuh: Petronella Douny

Umur: 36 Tahun

Tarikh Lahir: 8 Disember 1987

Negara: Malaysia

Kelayakan Kejurulatihan: Diploma Kejurulatihan AFC/FAM A

Jawatan Terdahulu: Penolong Jurulatih skuad Malayan Tigress B-18 (Kejuaraan AFF Wanita B-18 2022 di Palembang, 2022)

 

* Siaran Media ini dikeluarkan pada Rabu, 5 April 2023