SIARAN MEDIA: FIFA LULUS PERMOHONAN 147 PEMAIN DARI MALAYSIA UNTUK TERIMA GERAN BANTUAN ‘FIFA FUND FOR FOOTBALL PLAYERS’

2021-05-15

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa seramai 147 orang bekas pemain dari lima pasukan bola sepak yang telah tutup di negara ini telah diluluskan untuk menerima geran bantuan di antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ia menerusi program 'FIFA Fund for Football Players' atau lebih dikenali sebagai FIFA FFP yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama FIFA dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro) yang mana permohonan daripada lebih 1,000 orang pemain seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara anggota FIFA telah diluluskan termasuk 147 permohonan dari Malaysia iaitu bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

Permohonan bagi pemain-pemain dari Malaysia itu dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM dan termasuk juga kes yang telah diputuskan oleh FIFA.

FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi.

Menerusi dana FIFA FFP ini, jumlah keseluruhan wang yang bakal diterima oleh 147 orang pemain dari Malaysia ini ialah sebanyak AS$456,214.48 (RM1.88 juta) iaitu 2.85 % daripada jumlah keseluruhan dana AS$16 juta (RM66 juta) bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.

FAM berterima kasih kepada FIFA dan FIFPro kerana menerusi wang dana yang diberikan ini, ia telah membantu para pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan-pasukan yang telah ditutup, juga kepada PFAM yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut.

Namun begitu penerimaan dana ini bukanlah bermaksud kes ini sudah selesai sepenuhnya memandangkan dana yang diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan yang perlu diselesaikan. Oleh itu, FAM menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan tersebut.

Pada ketika ini, pihak PFAM sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada FIFA dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan semua juga, FIFA akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke akaun para pemain yang terlibat ini dalam kadar yang segera sebaik menerima maklumat akaun bank pemain.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)