SIARAN MEDIA: KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM KALI KE-10 BAGI PENGGAL 2021-2025

2024-02-13

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Antara keputusan yang telah dicapai Jawatankuasa Eksekutif FAM adalah seperti berikut:

 

1. SUMBANGAN PERUNTUKAN KHAS RM5,000,000 DARIPADA KERAJAAN MALAYSIA KEPADA PASUKAN HARIMAU MALAYA

 

YBhg. Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, Presiden FAM serta seluruh Jawatankuasa Eksekutif FAM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan di atas pemberian peruntukan khas kepada pasukan Harimau Malaya tempoh hari.

FAM percaya peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Malaysia adalah manifestasi sokongan padu tidak berbelah bahagi pucuk pimpinan Kerajaan terhadap FAM yang mengawal selia semua kegiatan bola sepak tempatan.

 

2. PROGRAM AKAR UMBI BOLASEPAK WANITA DI PENGERANG JOHOR

 

FAM akan mengadakan Program Akar Umbi Bolasepak Wanita dengan kerjasama dari Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) untuk kategori umur 10 hingga 15 tahun pada 1 Mac 2024 di Pengerang, Johor.

 

3. PIALA PRESIDEN DAN PIALA BELIA BAGI MUSIM 2024

 

Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan Piala Presiden 2024 yang akan bermula pada 21 April 2024. Had umur Piala Presiden adalah 20 tahun ke bawah (lahir pada atau selepas 1 Januari 2004).

Sebanyak 17 pasukan telah mengesahkan penyertaan Piala Belia 2024 yang akan bermula pada 27 April 2024. Had umur Piala Belia adalah 18 tahun ke bawah (lahir pada atau selepas 1 Januari 2006).

 

4. VIDEO ASSISTANT REFEREE (VAR) DI LIGA MALAYSIA 2024

 

Seramai 21 orang Pengadil, 20 orang Penolong Pengadil dan 9 orang “Replay Referee” telah selesai menjalani latihan VAR yang diiktiraf oleh FIFA.

FAM akan menjemput delegasi FIFA pada 17 hingga 22 April 2024 ke Malaysia bagi tujuan pemantauan, penilaian teknologi dan pengiktirafan.

 

5. STATUS PERSATUAN BOLASEPAK PERAK DARUL RIDZUAN (PAFA)

 

FAM telah mendapat makluman rasmi mengenai kelulusan untuk mengekalkan status pendaftaran badan sukan bagi Persatuan Bolasepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada 9 Februari 2024.

 

6. PASUKAN BAWAH-20 KEBANGSAAN

 

Jawatankuasa Eksekutif FAM telah meluluskan bahawa Juan Torres akan mengendalikan Pasukan Bawah-20 Kebangsaan sebagai Ketua Jurulatih. Juan Torres kini turut memegang jawatan sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Bawah-23 Kebangsaan.

Pasukan Bawah-20 Kebangsaan akan menghadapi kejohanan AFF yang dijadualkan pada bulan Jun 2024 dan kejohanan AFC Qualifiers pada bulan September 2024.

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Selasa, 13 Februari 2024