SIARAN MEDIA: KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM KALI KESEMBILAN BAGI PENGGAL 2021-2025

2023-11-06

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin ini telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Antara keputusan yang telah dicapai Jawatankuasa Eksekutif FAM adalah seperti berikut:

 

1. PELANCARAN PETA HALA TUJU F:30 PELAN KEDUA TINDAKAN STRATEGIK 2023-2026

 

Peta Hala Tuju F:30 dengan tempoh 12 tahun dibahagi kepada tiga Pelan Tindakan Strategik, iaitu fasa pertama 2019-2022, fasa kedua 2023-2026 dan fasa ketiga 2027-2030.

Pelan Pertama Tindakan Strategik 2019-2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur telah dilancarkan pada 31 Oktober 2018.

Jawatankuasa Eksekutif bersetuju untuk melancarkan Pelan Kedua Tindakan Strategik F:30 2023-2026 yang dijadualkan pada Sabtu ini, 11 November 2023.

Pelan Kedua Tindakan Strategik F:30 2023-2026 memfokuskan untuk menguasai ASEAN dan mencabar Asia dalam bola sepak.

 

2. PERTANDINGAN PIALA PRESIDEN DAN PIALA BELIA 2024

 

Jawatankuasa Eksekutif bersetuju Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia 2024 disertai oleh 14 pasukan kelab dalam Liga Super Malaysia 2024 dan semua Pasukan Utama dalam pertandingan Liga Super Malaysia 2024 diwajibkan menghantar pasukan Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18).

Pertandingan Piala Presiden 2024 dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia 2024 akan dimulakan pada April hingga September 2024 disebabkan bertembung dengan kalendar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

3. MALAYSIA PREMIER FUTSAL LEAGUE (MPFL) 2024 KATEGORI LELAKI

 

Jawatankuasa Eksekutif bersetuju bagi penganjuran Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 Kategori Lelaki mengikut divisyen seperti berikut:

 

Divisyen 1    

  • 10 pasukan terbaik MPFL 2023 (Profesional)
  • Bermula pada Januari/Februari 2024 hingga Ogos 2024
  • Liga 2 pusingan
  • Home & away

 

Divisyen 2

  • Baki pasukan-pasukan di MPFL 2023 bersama pasukan-pasukan baharu 2024
  • Bermula pada Januari/ Februari 2024 hingga Julai 2024
  • Liga 2 pusingan
  • Sirkit

 

4. LIGA WANITA NASIONAL 2024

 

Jawatankuasa Eksekutif bersetuju Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 dijadualkan bermula pada April 2024. Format pertandingan akan diperincikan kemudian.

 

5. HARGA TIKET AKSI MALAYSIA-REPUBLIK KYRGYZ

 

Jawatankuasa Eksekutif bersetuju dengan penetapan harga tiket oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM bagi perlawanan pertama Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia lwn Republik Kyrgyz di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Khamis, 16 November 2023, jam 9.00 malam.

Harga tiket yang ditetapkan bagi perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Penetapan harga-harga tiket tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos-kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Selain itu, penetapan harga RM40 bagi Kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan ini iaitu perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan harga tiket Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu RM30 bagi Kategori Terbuka.

Bagaimanapun, RM1 daripada setiap jualan tiket (kesemua kategori) bagi perlawanan menentang Republik Kyrgyz ini akan disumbangkan ke tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya sepertimana yang telah dilaksanakan oleh FAM bermula dari Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu.

Sementara RM2 daripada setiap jualan tiket tersebut juga akan disumbangkan ke tabung Palestin sebagai tanda soladiriti dan membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang sedang berdepan konflik di Gaza ketika ini.

Penjualan tiket bagi perlawanan menentang Republik Kyrgyz ini adalah sepenuhnya secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula esok (Selasa, 7 November 2023) sehingga ke hari perlawanan (Khamis, 16 November 2023). Tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium atau mana-mana premis.

 

* Siaran media ini disiarkan pada Isnin, 6 November 2023