SIARAN MEDIA: KERAJAAN MALAYSIA TIDAK MEMBENARKAN SKUAD HARIMAU MALAYSIA TERBANG KE PYONGYANG, KOREA UTARA

2017-03-06

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini telah menerima arahan terbaharu daripada Kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaysia untuk terbang ke Pyongyang, Korea Utara bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini.

 Arahan berkenaan telah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menghubungi saya pagi tadi dan disusuli surat daripada Kementerian Belia dan Sukan ditandatangani ketua setiausahanya, Dato’ Lokman Hakim Ali, tengah hari ini yang menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia telah bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian untuk perlawanan di Pyongyang itu atas dasar dan pertimbangan faktor-faktor keselamatan.

 Keputusan Kerajaan Malaysia itu dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan baru-baru ini.

 Terdahulu pada Khamis lalu (2 Mac 2017), Persatuan telah menerima surat awal daripada Wisma Putra ditandatangani Menteri Luar Negeri, Dato' Sri Anifah Aman yang menyatakan bahawa venue perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang itu dijamin selamat tetapi sebarang perubahan akan dimaklum dari semasa ke semasa.

 Namun keputusan Kerajaan Malaysia untuk mengusir keluar Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pada Sabtu lalu (4 Mac 2017) dilihat telah menjadikan situasi semasa tidak selamat untuk warga Malaysia berkunjung ke Korea Utara buat masa ini.

 Berdasarkan arahan terbaharu Kerajaan Malaysia itu menerusi surat yang diterima hari ini, Persatuan telah pun menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sebentar tadi untuk sekali lagi memohon supaya venue perlawanan tersebut ditukar dari Pyongyang ke tempat lain iaitu gelanggang berkecuali atas dasar keselamatan.

 Saya juga telah menghubungi Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John yang kini berada di Kemboja bagi memaklumkan harapan Persatuan supaya AFC memberi pertimbangan sewajarnya dan membuat keputusan segera mengenai venue baharu perlawanan tersebut bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pusat pada 13 Mac ini.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

ISNIN, 6 MAC 2017