SIARAN MEDIA: KRONOS SERAH JERSI BAHARU PENGADIL LIGA MALAYSIA

2020-08-26

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini menerima jersi baharu tajaan Kronos yang akan mula dipakai para pengadil Liga Malaysia apabila saingan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 kembali bersambung pada hujung minggu ini.

Kronos, jenama sukan yang tidak asing lagi di negara ini merupakan penaja rasmi pakaian pengadil Liga Malaysia bagi musim 2019 hingga 2021.

Tampil dengan rekaan terbaharu berwarna oren, jersi baharu ini sudah tentu akan memberikan kesegaran dan semangat kepada para pengadil untuk kembali beraksi selepas saingan Liga Malaysia 2020 tertangguh lebih lima bulan sejak Mac lalu akibat pandemik COVID-19.

Majlis penyerahannya berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini dengan Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah menerima jersi baharu tersebut daripada Pengarah Urusan Paragon Vest Sdn Bhd (Kronos Malaysia), Encik Tiew Cheng Tai.

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Paragon Vest Sdn Bhd (Kronos Malaysia), Encik Vincent Lai Wan Onn; Ketua Unit Pengadil FAM, Haji Kassim Kadir Bacha serta beberapa pengadil Liga Malaysia 2020.

Menurut ACP (B) Md Dali, kelainan dari segi warna baharu pada jersi kali ini akan memberikan impak buat para pengadil untuk menampilkan prestasi yang lebih baik ketika mengadili baki tujuh Hari Perlawanan liga musim ini dan juga saingan TM Piala Malaysia 2020.

"Sejak Kronos menjadi penaja rasmi pakaian pengadil Liga Malaysia bermula dari musim 2019, kita dapat lihat yang jersi pengadil warnanya adalah hitam, kelabu, turquoise dan ungu.

"Jadi apabila rekaan terbaharu jersi berwarna oren ini, saya kira ia akan dapat lebih kerap digunakan pengadil dalam perlawanan-perlawanan Liga Malaysia nanti kerana kebarangkalian untuk bertembung warna dengan jersi pasukan bertanding sangat rendah.

"Jersi baharu, semangat pun perlu baharu. Diharap para pengadil kita dapat kembali turun bertugas selepas 'berehat' lima bulan dengan semangat dan motivasi lebih tinggi," kata ACP (B) Md Dali.

Sementara itu, Tiew Cheng Tai pula berkata: "Bagi seorang pengadil, pakaian yang ringkas dan kemas merupakan salah satu perkara yang harus dititikberatkan. Justeru, bagi memberikan suntikan semangat kepada barisan pengadil, Kronos Malaysia menampilkan corak serta warna tambahan terbaru iaitu 'orange fluorescent’ yang turut menampilkan ciri-ciri sampingan menarik.

"Dengan variasi warna baru yang ditampilkan, diharapkan supaya barisan pengadil dapat memberikan mutu pengadilan yang mantap dan konsisten sepanjang perjalanan Liga Malaysia 2020 ini."

Bagi peminat-peminat bola sepak serta barisan pengadil yang mahu memiliki koleksi jersi pengadil (FAM x Kronos) ini, koleksi ini boleh didapati di seluruh pengedar sah Kronos Malaysia di seluruh negara atau di laman sesawang www.kronossea.com.