SIARAN MEDIA: LAPORAN KEDUA ROADMAP F:30 FAM

2019-07-26

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan laporan kedua Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM 2019-2030 yang dinamakan F:30 bagi tempoh suku kedua tahun 2019 iaitu April hingga Jun 2019.

Untuk makluman, F:30 telah dilancarkan secara bersama oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino; Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018.

F:30 dibahagikan kepada tiga peringkat Pelan Strategik iaitu Pelan Strategik 1 (2019-2022) untuk membentuk teras asas, Pelan Strategik 2 (2023-2026) untuk mula menguasai Asia dan Pelan Strategik 3 (2027-2030) untuk menguasai peringkat dunia.

Pada 3 April 2019, FAM telah membentangkan laporan pertama F:30 bagi memberitahu perkembangan sepanjang tempoh suku pertama tahun 2019 (Januari hingga Mac 2019) yang merangkumi peratusan terkini sasaran strategik dan perkara tindakan yang telah dibuat bagi pelaksanaan Pelan Strategik 1 dalam tempoh empat tahun pertama (2019-2022).

Sebagai perbandingan bagi suku kedua tahun 2019 dengan suku pertama tahun 2019 itu, secara keseluruhannya telah menyaksikan peningkatan sebanyak lima peratus (+5%) dari 26% ke 31% bagi purata ketiga-tiga teras utama F:30 untuk Pelan Strategik 1 itu iaitu Tadbir Urus (kakitangan & polisi), Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama) dan Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal).

 

Perincian perkembangan bagi setiap teras berkenaan adalah seperti berikut:

 

1. Tadbir Urus (kakitangan & polisi) telah meningkat sebanyak empat peratus (+4%) iaitu dari 23% pada suku pertama tahun 2019 ke 27% pada suku kedua tahun 2019.

2. Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama) telah meningkat sebanyak enam peratus (+6%) iaitu dari 24% pada suku pertama tahun 2019 ke 30% pada suku kedua tahun 2019.

3. Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal) telah meningkat sebanyak enam peratus (+6%) iaitu dari 30% pada suku pertama tahun 2019 ke 36% pada suku kedua tahun 2019.

 

Berikut pula, antara program atau aktiviti berkaitan yang telah dijalankan sepanjang tempoh suku kedua tahun 2019 mengikut kategori ketiga-tiga teras utama F:30:

 

1. Tadbir Urus (kakitangan & polisi)

* Seorang kakitangan FAM sedang mengikuti Kursus Pentadbiran Sukan 2019 anjuran Majlis Olimpik Malaysia (OCM)

* Seorang kakitangan FAM telah dianugerahkan Sijil Pentadbiran Bola Sepak (FAC) selepas selesai mengikuti program anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu.

* Empat kakitangan FAM telah diterima oleh AFC untuk menyertai program FAC bagi sesi 2019-2020.

* Seorang kakitangan FAM telah diterima oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyertai Kursus Perundangan FIFA.

* Pindaan terhadap Statut FAM telah dilengkapkan untuk ia dibentangkan pada Kongres FAM Ke-55 yang berlangsung pada awal suku ketiga tahun 2019 iaitu pada 13 Julai lalu.

 

2. Pembangunan (bola sepak, ahli gabungan, infrastruktur & rakan kerjasama)

* Dokumen bagi isi kandungan DNA Bola Sepak Malaysia telah dilengkapkan dan ia dilancarkan pada awal suku ketiga tahun 2019 iaitu pada 9 Julai lalu.

* FAM pada 25 Jun 2019 telah menerima Sijil Keahlian Konvensyen Kejurulatihan AFC, sekali gus kini boleh menganjurkan dan menjalankan Kursus Kejurulatihan peringkat dan kategori masing-masing tanpa menjalani proses lama untuk mendapatkan kelulusan AFC terlebih dahulu.

* FAM pada 4 Mei 2019 telah melancarkan piagam akar umbi yang dinamakan PIAGAM SUPARIMAU FAM.

* FAM juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM yang dipengerusikan oleh  Exco FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan telah bermesyuarat buat kali pertama pada 19 April 2019.

 

3. Pertandingan (bola sepak lelaki, bola sepak wanita & futsal)

* Saingan liga futsal profesional pertama di negara ini, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019 telah berjaya dilangsungkan bermula pada 22 Jun 2019 dan kini perlawanan-perlawanan terpilih disiarkan secara langsung di Astro Arena pada setiap minggu.

 

Berdasarkan laporan kedua yang dibentangkan ini, pertambahan peratusan perkembangan setiap teras utama yang dicatat berbanding suku pertama tahun 2019 memperlihatkan bahawa F:30 terus berada dalam landasan terbaik untuk ia dilaksanakan dari semasa ke semasa.

FAM akan terus memberikan laporan ketiga iaitu bagi suku ketiga tahun 2019, tiga bulan dari sekarang dan laporan seterusnya dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pemegang taruh bola sepak di luar sana dapat mengetahui perkembangan terkini mengenai F:30 ini.