Siaran media: Malaysia XI lwn Liverpool FC

Liverpool FC mahu meneruskan rentak cemerlang pada ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu bersedia untuk perlawanan yang dinanti-nantikan iaitu menentang skuad Pilihan Malaysia (Malaysia XI) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini (24 Julai) susulan kemenangan impresif dalam Jelajah Pra-Musim Asia 2015 mereka setakat ini.

 Pertembungan menentang Malaysia XI akan menjadi persinggahan terakhir Liverpool di Asia selepas beraksi cemerlang di Bangkok, Brisbane dan Adelaide.

 The Reds kali terakhir berkunjung ke Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada Jelajah Asia 2011 mereka dan beraksi di hadapan 80,000 penyokong yang hadir membanjiri gelanggang yang sama.

 Para peminat meraikan Liverpool – yang ketika itu dikendalikan oleh Kenny Dalglish – dengan laungan ‘You’ll Never Walk Alone’ selepas The Reds mencatat kemenangan 6-3 ke atas Malaysia XI.

 Bagaimanapun, perlawanan pada 24 Julai ini (sepak mula jam 8:45 malam) akan menjadi sebahagian daripada catatan sejarah bola sepak negara kerana ini adalah kali kedua Liverpool FC bertandang ke bumi Malaysia dan ianya adalah perlawanan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian selama 2 tahun.

 Perlawanan ini dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan dipromosikan oleh ProEvents International Sdn Bhd.

 Penolong Setiausaha Agung FAM, Lazarus Jensen Xavier, berkata: “Malaysia adalah satu daripada destinasi terulung untuk pasukan hebat seperti Liverpool menjayakan program pra-musim mereka dan kami mengalukan kehadiran semula mereka ke Malaysia.

 "Kita semua mengharapkan satu lagi perlawanan menarik menentang Liverpool. Saya yakin Malaysia XI akan menunjukkan aksi terbaik dan memberikan para peminat sesuatu untuk dibanggakan apabila menentang pasukan hebat seperti Liverpool FC.”

 Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam, berkata: “Setiap kali kami membawa Liverpool FC ke Malaysia, sambutannya cukup menakjubkan. Penyokong di sini sangat fanatik mengenai Liverpool dan ianya hebat apabila kami dapat memberi peluang kepada ramai di antara mereka peluang untuk datang dan menonton pasukan ini beraksi.

 “Kali terakhir Liverpool berada di Kuala Lumpur, setiap sudut Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi lautan penyokong. Perlawanan ini akan menjadi hiburan pada Jumaat malam yang cukup menarik dan saya menggesa agar semua peminat bola sepak tidak melepaskan peluang ini,” kata Kam.

 Selain pemain tengah yang juga ketua pasukan yang baru dilantik, Jordan Henderson, lima pemain baharu – Nathaniel Clyne, Joe Gomez, James Milner, Danny Ings dan penjaga gol Adam Bogdan turut menyertai jelajah ini.

 Ketua jurulatih kebangsaan yang mengendalikan Malaysia XI, Dollah Salleh, telah menyenaraikan lima pemain  import yang mewarnai kancah Liga Super dan Liga Premier untuk menentang Liverpool.

 Mereka adalah pertahanan Terengganu, Vincent Bikana, dua pemain Perak iaitu Charles Souza Chad dan Thiago Junior Aquino serta Zah Rahan Krangar dari Felda United dan penyerang PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh.

 “Saya perlu perkuatkan pasukan dengan pemain yang berkualiti. Kami telah beraksi dengan baik menentang Spurs (Tottenham Hotspur pada 27 Mei lalu) dan harapan adalah cukup tinggi untuk mengulangi aksi sama apabila menentang Liverpool FC. Kelab Inggeris selalunya sukar untuk ditewaskan tetapi fokus kita adalah memberi pendedahan sebaik mungkin kepada pemain kita,” ujar Dollah.

 Mahendra Gursahani, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, berkata: “Kami gembira melihat Liverpool FC berkunjung ke Malaysia sebagai sebahagian daripada Jelajah Asia 2015. Bahawasanya ia bertembung dengan ulang tahun ke-140 Standard Chartered Bank Malaysia di Malaysia adalah satu penghormatan yang istimewa.

 “Kelab ini mempunyai warisan yang sama dengan kami – sejarah yang lebih dari seabad, nilai-nilai yang kuat, dan determinasi untuk berbakti kepada masyarakat. Kerjasama ini turut memberikan kami akses kepada beberapa pemain paling berjaya dalam sejarah bolasepak, masa kini dan masa lalu, agar kami boleh mewujudkan pelbagai pengalaman unik kepada pelanggan kami, masyarakat dan staf di Malaysia. Ini telah terbukti menjadi satu kejayaan besar setakat ini, dan kami teruja untuk ketahui apa yang akan berlaku di masa depan,” tambahnya.

 Tiket untuk menyaksikan perlawanan di antara Liverpool FC menentang Malaysia XI adalah berharga RM58 (pelajar), RM88, RM158 dan RM228 dengan tiket VIP terhad boleh didapati pada harga RM428 dan RM328. Kesemua tiket sudah boleh dibeli menerusi atas talian di ticketpro.com.my, hotline +603-7880-7999, cawangan Ticketpro selain cawangan New Balance dan Sports Empire.

* Siaran media ini dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak ProEvents International

J Category: 
uncategorised7