SIARAN MEDIA: OPERASI FAM TETAP BERJALAN BIARPUN WISMA FAM DITUTUP SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

2020-03-19

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa Sekretariat Agung FAM masih beroperasi seperti biasa mengikut polisi dalaman yang telah ditetapkan biarpun ibu pejabat FAM iaitu Wisma FAM di Kelana Jaya ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac 2020 kerana wabak COVID-19.

Semua ahli gabungan FAM telah dimaklumkan menerusi e-mel pada Selasa lalu (17 Mac 2020) berkaitan perkara ini dan mereka juga diberikan senarai nombor telefon untuk dihubungi iaitu ketua-ketua unit di FAM jika terdapat urusan berkaitan dengan mana-mana unit di bawah Sekretariat Agung FAM.

Untuk makluman juga, semua kakitangan FAM telah diarahkan untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini bagi memastikan segala kerja-kerja berkaitan dapat diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan, sekali gus operasi FAM dapat berjalan seperti biasa.

Terdahulu Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Malaysian Football League (MFL) serta rakan kongsi liga, penaja dan pihak-pihak berkaitan pada Jumaat lalu (13 Mac 2020) telah mengumumkan bahawa semua perlawanan anjuran FAM dan MFL dari 13 hingga 15 Mac 2020 dijalankan secara tertutup tanpa penonton sebelum ia ditangguhkan berkuat kuasa pada Isnin, 16 Mac 2020.

Yang turut terpaksa ditangguhkan adalah kursus-kursus sijil kejurulatihan, kursus-kursus pengadil serta liga akar umbi, Liga SupaRimau yang sepatutnya sudah dimulakan pada bulan ini.

Biarpun tiada sebarang perlawanan liga domestik sama ada CIMB Liga Super, Liga Premier, SHOPEE Piala FA, Liga M3 & M4, Piala Presiden, Piala Belia, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan Liga SupaRimau dilangsungkan ketika ini termasuk juga kursus kejurulatihan dan pengadil, hal-hal berkaitan pengurusan, pengoperasian dan dokumentasi tetap perlu diteruskan dan atas dasar itu, FAM beroperasi seperti biasa.

Diharap semua pihak terlibat terutama ahli-ahli gabungan FAM dapat memberikan kerjasama sebaiknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini bagi memastikan kelancaran dalam segala urusan yang berkaitan dengan Sekretariat Agung FAM.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)