SIARAN MEDIA: PENDIRIAN FAM BERHUBUNG MFL

2019-04-25

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin menyatakan pendirian berhubung beberapa perkara yang membabitkan badan penganjur Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) seperti yang dilaporkan oleh media.

Ingin dijelaskan di sini bahawa penswastaan Liga Malaysia telah pun dipersetujui oleh semua ahli gabungan FAM dan seterusnya oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk ditubuhkan FMLLP (nama lama bagi MFL) pada tahun 2015 sebagai badan penganjur Liga Malaysia yang dijalankan secara profesional sepenuhnya bermula tahun 2016.

Penganjuran liga domestik secara profesional seumpama ini adalah seiring dengan kehendak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga sama seperti liga-liga domestik terkemuka Asia contohnya Liga Jepun (J.League) dan Liga Korea Selatan (K League) serta liga terkemuka dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga di Sepanyol.

Badan bebas pentadbir liga domestik ini ditubuhkan bukan sahaja bagi memenuhi keperluan ditetapkan AFC, malah ia juga merupakan evolusi bola sepak profesional yang dapat kita lihat di seluruh dunia ketika ini.

Sudah tentu apabila sudah memasuki musim keempat ia dijalankan secara profesional sepenuhnya oleh MFL, FAM sememangnya tiada hasrat untuk mengambil langkah ke belakang bagi menguruskan kembali Liga Malaysia.

FAM dengan ini tetap memegang prinsip bahawa MFL harus mentadbir liga dan FAM perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan MFL.

Sudah tentu dalam menuju ke arah profesionalisme bagi memastikan Liga Malaysia mencapai tahap yang ditetapkan oleh AFC, ada kalanya MFL terpaksa membuat beberapa keputusan tegas yang sudah tentu tidak popular di kalangan pasukan yang mana kadang kala pasti berlaku perbezaan pendapat dan pandangan kerana masing-masing mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri.

Bagaimanapun, apa yang dapat dilihat, keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh MFL ini boleh dikira konsisten sejak dari tahun lepas, yang mana pasukan-pasukan dihukum itu masih diberi peluang untuk membuat rayuan. Jadi mana-mana pasukan terbabit perlu akur menerima hukuman yang telah dijatuhkan tempoh hari.

FAM juga sentiasa bersedia berjumpa dengan mana-mana ahli gabungan untuk menjadi penghubung di antara MFL dan ahli-ahli gabungan bagi memastikan hubungan dan komunikasi dua hala antara pihak-pihak terlibat ini dapat diselesaikan secara baik.

Perjalanan untuk menuju ke arah profesional ini bukan sesuatu yang mudah tetapi FAM masih tetap memberikan sokongan dan yakin kepada pihak pengurusan tertinggi MFL dalam menguruskan Liga Malaysia secara profesional sejak dari ia ditubuhkan, empat tahun yang lalu.

 

Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)