SIARAN MEDIA: PENJELASAN DAKWAAN PENJAGA GOL FUTSAL WANITA KEBANGSAAN LANGGAR PERINTAH BERKURUNG

2017-08-09

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin menjelaskan bahawa penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman, 30, sebenarnya tidak melanggar perintah berkurung keluar dari bilik melebihi jam 11.30 malam sewaktu kem fasa akhir perhimpunan atlet Malaysia untuk Sukan SEA 2017 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada Jumaat lalu (4 Ogos 2017) seperti yang didakwa.

Siasatan dilakukan Persatuan dengan penjelasan daripada pemain itu sendiri serta ketua jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Muizzudin Haris dan pengurus pasukan, Shafizah Umamah Abdul Mutalib beserta bukti rakaman CCTV mendapati bahawa Nur Izwani telah pun meninggalkan lobi hotel selepas berjumpa saudaranya dan menuju ke lif pada jam 10.55 malam untuk naik ke biliknya.

Ia sama sekali bercanggah dengan aduan dan dakwaan yang dibuat pihak tertentu sebelum ini yang menyatakan bahawa Nur Izwani dilihat masih berada di lobi hotel berkenaan pada sekitar jam 12.30 tengah malam.

Justeru Persatuan berasa kesal dengan tuduhan dan dakwaan tersebut yang mendorong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Dato' Low Beng Choo membuat kenyataan media pada Isnin (7 Ogos 2017) bahawa terdapat dua atlet negara iaitu daripada sukan futsal dan badminton telah melanggar perintah berkurung.

Setelah diteliti daripada bukti rakaman CCTV juga mendapati bahawa pergerakan terakhir Nur Izwani masuk ke dalam biliknya adalah pada jam 11.11 malam, yang jelas sama sekali tidak melanggar peraturan perintah berkurung keluar dari bilik melebihi jam 11.30 malam.

Saya telah menghubungi sendiri Beng Choo bagi menjelaskan apa yang berlaku ini dan akan menghantar surat penjelasan kepada beliau bagi memastikan perkara atau isu ini tidak terus dipanjangkan di media.

Persatuan juga mengesahkan bahawa nama Nur Izwani masih berada dalam senarai 16 pemain akhir skuad futsal wanita kebangsaan untuk beraksi pada Sukan SEA 2017 yang mana acara futsal akan berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam dari 18 hingga 27 Ogos 2017.

Malah ketua jurulatih (Muizzudin) turut berpuas hati dengan tahap disiplin Nur Izwani di dalam dan luar gelanggang sepanjang bersama skuad futsal wanita kebangsaan.

 

DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

RABU, 9 OGOS 2017