SIARAN MEDIA: SKUAD B-17 KEBANGSAAN AKAN PULANG LEBIH AWAL DARI JEPUN

2020-02-28

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa skuad B-17 kebangsaan kendalian Raja Azlan Shah Raja So'ib yang kini berada di Kagoshima, Jepun akan pulang segera ke tanah air sejurus berakhirnya Japan-ASEAN U-19 Football Tournament (JENESYS 2019).

Ia selepas pihak penganjur telah membuat keputusan untuk membatalkan semua program-program lain yang sepatutnya diadakan di Tokyo selepas berakhirnya hari perlawanan terakhir pada Sabtu, 29 Februari 2020 berikutan status terkini wabak COVID-19.

Pegawai pentadbir skuad B-17 kebangsaan, Muhammad Aiqal Rasman telah memaklumkan perkembangan tersebut selepas beliau menghadiri sesi taklimat daripada pihak penganjur di Kagoshima, semalam.

Pihak penganjur selepas berbincang dengan Kementerian Luar dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) telah membuat keputusan untuk meneruskan juga baki perlawanan di Kagoshima tetapi membatalkan program susulan di Tokyo.

Program bersempena JENESYS 2019 ini sepatutnya akan berakhir pada Rabu, 4 Mac 2020 yang mana skuad B-17 kebangsaan dijadual berlepas pulang ke tanah air pada hari berkenaan.

Namun dengan perkembangan terbaharu ini, semua pasukan yang terlibat termasuk Malaysia akan bertolak pulang dari Kagoshima ke Tokyo pada Ahad, 1 Mac 2020.

Pihak penganjur sedang menguruskan penerbangan terus ke negara dengan kadar segera, masing-masing sama ada pada 1 atau 2 Mac 2020, bergantung kepada penerbangan.

Bagi skuad B-17 kebangsaan, sekiranya pada 1 Mac 2020 terdapat waktu penerbangan ke Kuala Lumpur yang mencukupi jumlah tempat duduk, pasukan akan terus pulang ke Kuala Lumpur pada hari tersebut. Jika tiada, pasukan akan pulang ke Malaysia pada Isnin, 2 Mac 2020.

Untuk itu, skuad B-17 kebangsaan dijangka tiba di Kuala Lumpur sama ada pada sebelah pagi (waktu Malaysia) 2 Mac 2020 atau petang tarikh yang sama.

Diharap segalanya berjalan dengan lancar dan skuad B-17 kebangsaan akan kembali ke tanah air dengan selamat.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)