SIARAN MEDIA: TIGA NAMA DICALON BAGI JAWATAN PRESIDEN FAM

2018-05-11

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin mengumumkan bahawa tiga individu iaitu Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Dato' Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa telah dicalonkan bagi mengisi jawatan Presiden FAM yang baharu.

Selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2 April 2018 berakhir pada jam 5.00 petang tadi, FAM hanya menerima tiga nama berkenaan sebagai calon daripada ahli-ahli gabungan yang telah mengembalikan kertas pencalonan masing-masing.

Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun 2018, iaitu sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai 2018.

Jika terdapat lebih daripada seorang calon sah ingin bertanding, maka undian pemilihan Presiden FAM yang baharu perlu dijalankan pada Kongres FAM Ke-54. Jika hanya seorang calon yang mengesahkan penerimaan pencalonannya, maka secara tidak rasminya beliau menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, pemilihan calon berkenaan sebagai Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 hanya akan disahkan secara rasmi pada Kongres FAM Ke-54 itu nanti.

Jawatan Presiden FAM kosong selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Mesyuarat Khas Pertama bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 2 April 2018 menerima peletakan jawatan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sebagai Presiden FAM yang telah disandang baginda mulai 25 Mac 2017.

 

DATUK WIRA MOHD YUSOFF MAHADI

PEMANGKU PRESIDEN PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM)

JUMAAT, 11 MEI 2018