SIARAN MEDIA: TINDAKAN FAM TERHADAP BEBERAPA INSIDEN MEMBABITKAN PENGADIL & PEMAIN PADA HARI PERLAWANAN 1 & 2 LIGA SUPER & LIGA PREMIER 2021

2021-03-15

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan dan tindakan berhubung beberapa insiden membabitkan pengadil dan pemain yang berlaku pada perlawanan Liga Super dan Liga Premier 2021 sepanjang Hari Perlawanan 1 dan 2.

 

1. Perlawanan Liga Premier 2021, Kelantan FC lwn Perak FC II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu, 6 Mac 2021

(a) Pengadil, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin telah didapati berada di kedudukan yang salah di dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

Biarpun secara keseluruhan prestasinya sepanjang perlawanan tersebut adalah memuaskan berdasarkan laporan daripada Penilai Pengadil, pengadil berkenaan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan bagi memperbaiki keupayaan jangkaan permainan, posisi dan pergerakkan dalam permainan dan hanya akan diberi lantikan semula untuk mengadili perlawanan akan datang selepas selesai program penambahabaikan dan penilaian dibuat terhadapnya.

(b) Pemain Kelantan FC, Jack Hindle akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya menolak pengadil secara agresif.

 

2. Perlawanan Liga Super 2021, PJ City FC lwn Melaka United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu, 10 Mac 2021

(a) Pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa telah didapati membuat kesilapan apabila gagal mengesan tindakan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC dan tetap dengan keputusannya untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan PJ City FC.

Mohd Fairuzi telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta dan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM, Nagor Amir Noor Mohamed untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.

(b) Pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja melakukan simulasi atau diving dalam kotak penalti Melaka United FC bagi mendapatkan sepakan penalti.

(c) Pemain Melaka United FC, Alex dos Santos Goncalves akan dirujuk kesnya ke Jawatankuasa Tatatertib FAM berdasarkan bukti rakaman video ekoran tindakannya yang sengaja membaling bola ke arah pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa selepas meraikan gol kedua Melaka United FC pada penghujung perlawanan.

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

15 Mac 2021