Sidang media pra-perlawanan Final XOX Piala FA 2015

Berikut antara komen kedua-dua jurulatih dan kapten pasukan pada sidang media pra-perlawanan Final XOX Piala FA 2015 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang ini.
 
 Sebelum sidang media itu, berlangsung majlis memperkenalkan XOX Mobile sebagai penaja rasmi Final XOX Piala FA 2015.
 
  Final XOX Piala FA 2015 menemukan Kelantan dan LionsXII akan berlangsung di Stadium Nasional pada Sabtu, 23 Mei dengan sepak mula jam 8.55 malam.
 
KOMEN JURULATIH KELANTAN, AZRAAI KHOR ABDULLAH
 
"Kami akan berdepan LionsXII, sebuah pasukan yang terkenal dengan tahap kecergasan dan komitmen tinggi serta semangat berpasukan yang mantap.
 
 "Tapi kami sudah melalui siri latihan terperinci dan sudah bersedia untuk menghadapi aksi final kali ini.
 
 "Apa yang penting, saya sudah beritahu pemain, kami perlu fokus dan main dengan penuh disiplin serta mengikut arahan dan strategi pasukan.
 
 "Kami mahu Piala FA kekal di bumi Malaysia. Kami umpama mewakili semua pasukan tempatan yang beraksi di Piala FA, berdepan lawan dari Singapura. Jadi kami memerlukan sokongan daripada semua untuk perlawanan malam esok."
 
KOMEN JURULATIH LIONSXII, FANDI AHMAD
 
"Kami rasa bangga dapat melangkah masuk ke final kali ini. Ia sesuatu yang luar biasa bagi LionsXII kerana kami tak pernah masuk final Piala FA.
 
 "Ini pasukan pembangunan dan harap kami dapat memeriahkan suasana final dan insya-Allah kami akan bermain mati-matian biarpun kami dianggap underdog berbanding Kelantan yang lebih berpengalaman serta sudah biasa beraksi di final.
 
 "Jadi kami perlu waspada dan berjuang sehingga 95 minit permainan. Insya-Allah perlawanan tidak akan berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.
 
 "Mudah-mudahan strategi yang kami buat dalam sesi latihan, dapat diterjemahkan para pemain pada hari perlawanan, malam esok. Kami akan berjuang untuk mencipta sejarah."
 
KOMEN KAPTEN KELANTAN, BADHRI RADZI
 
"Alhamdulillah kami sampai lagi ke Bukit Jalil. Harap pasukan Kelantan dapat menjuarai Piala FA edisi kali ini.
 
 "Sudah tentu semua mengharapkan Piala FA kekal di bumi Malaysia dan ia ibarat maruah buat negara. Harap kami dapat buat yang terbaik untuk perlawanan, malam esok."
 
KOMEN KAPTEN LIONSXII, IZWAN MAHBUD
 
"Sudah tentu rasa gembira dapat masuk final. Ia umpama detik bersejarah. Ini final Piala FA pertama bagi saya, sudah tentu rasa cukup teruja. Sepanjang minggu ini, saya cukup fokus dan bekerja keras dalam latihan.
 
 "Insya-Allah kami cuba untuk memenangi Piala FA kali ini. Kami tak perlu terlalu tertekan kerana kami pasukan underdog. Tapi bola sepak ini permainan yang lucu kerana kita tak tahu apa yang akan berlaku."
 
J Category: 
uncategorised6