SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN AKHIR KEDUA PIALA FAM 2016, PKNP FC LWN MISC-MIFA

2016-10-26

Menjelang Perlawanan Akhir Kedua Piala FAM 2016 antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dan MISC-MIFA di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis, 27 Oktober 2016, satu sidang media praperlawanan telah berlangsung di Hotel Casuarina, Ipoh petang tadi.

Sidang media berkenaan telah dihadiri ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim dan ketua pasukan, Mohd Fazli Zulkifli serta ketua jurulatih MISC-MIFA, Jacob Joseph dan penolong ketua pasukan, K Nanthakumar.

Pada Perlawanan Akhir Pertama yang telah berlangsung di Stadium Shah Alam pada Khamis lalu (20 Oktober), MISC-MIFA selaku pasukan tuan rumah telah mengatasi PKNP FC 1-0 menerusi sepakan penalti G Thipen Raj pada minit ke-89.

Dengan PKNP FC pula akan bertindak sebagai tuan rumah bagi Perlawanan Akhir Kedua di Ipoh, malam esok, masuk adalah percuma.

Berikut komen Abu Bakar dan Jacob pada sidang media, petang tadi:

 

KOMEN KETUA JURULATIH PKNP FC, ABU BAKAR FADZIM

“Persiapan kita berjalan lancar. Dua pemain tonggak kita; ketua pasukan, Mohd Fazli Zulkifli dan Muhamad Ibni Khozaimi juga kembali untuk memperkuatkan pasukan esok.

Kita akan memberi tekanan kepada MISC-MIFA kerana bermain di tempat sendiri dan rekod juga menunjukkan kita belum tewas lagi di sini (Stadium Perak). Jadi kita harap pada perlawanan akhir kedua esok, kemenangan akan berpihak kepada PKNP.

“Kita akan bermain seperti biasa kerana isu bantahan yang dikemukakan MISC-MIFA masih dalam siasatan lagi. Kalau mereka membuat bantahan, mereka perlu mengikut peraturan Liga Malaysia.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MISC-MIFA, JACOB JOSEPH

“Saya katakan kepada pemain-pemain saya untuk melupakan sahaja keputusan perlawanan akhir pertama Khamis lepas (menang 1-0). Itu adalah bonus. Kita masih ada 90 minit untuk hadapi PKNP kerana kita sedar bahawa pasukan mereka adalah pasukan yang bagus.

“Ketua pasukan, K Premanathan tidak dapat diturunkan esok kerana telah mengutip dua kad kuning dan beliau akan digantikan dengan K Nanthakumar. Saya berharap para pemain akan bekerja sebagai satu pasukan untuk menghadapi PKNP.

“Tekanan memang ada kerana mereka tidak pernah tewas di tempat sendiri musim ini. Saya juga berharap MISC-MIFA akan melakar sejarah malam esok dan membawa pulang trofi Piala FAM.

“Ya, kami sudah membuat bantahan rasmi kepada FAM kerana mereka telah menurunkan pemain yang tidak sah pada perlawanan akhir pertama di Shah Alam. Walaubagaimanapun, keputusan lanjut adalah di tangan FAM. Fokus saya dan pasukan adalah hanya untuk memenangi perlawanan esok.”