SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN AKHIR PERTAMA PIALA BELIA 2016, SELANGOR LWN SSBJ B-17

2016-10-15

Menjelang Perlawanan Akhir Pertama Piala Belia 2016 antara Selangor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Ahad, 16 Oktober 2016, satu sidang media praperlawanan telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

 Sidang media berkenaan telah dihadiri ketua jurulatih Selangor, Noor Zaidi Rohmat dan ketua pasukan, Amirul Haziq Rasmizal serta ketua jurulatih SSBJ B-17, Reduan Abdullah dan ketua pasukan, Syaiful Alias.

 Selangor selaku juara bertahan menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga di belakang Sabah dan Kedah, namun cemerlang menyingkirkan naib juara Kumpulan B, Felda United di suku akhir dan seterusnya pasukan tangga keempat Kumpulan B, Kelantan di separuh akhir.

 SSBJ B-17 pula muncul juara Kumpulan B sebelum meneruskan rentak cemerlang mengatasi pasukan tangga keempat Kumpulan A, Pulau Pinang di suku akhir disusuli kejayaan mengatasi naib juara Kumpulan A, Kedah di separuh akhir.

 Perlawanan Akhir Pertama Piala Belia 2016 menyaksikan Selangor bertindak sebagai tuan rumah dengan sepak mula perlawanan jam 8.45 malam esok. Masuk adalah percuma. Perlawanan tersebut turut akan disiarkan secara langsung di Astro Arena, Saluran 801 dan 802 HD.

 Sementara Perlawanan Akhir Kedua Piala Belia 2016 di Stadium Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Ahad depan, 23 Oktober pula akan menyaksikan SSBJ B-17 bertindak sebagai tuan rumah.

 Berikut komen Noor Zaidi dan Reduan pada sidang media, petang tadi menjelang Perlawanan Akhir Pertama Piala Belia 2016, malam esok:

 

KOMEN KETUA JURULATIH SELANGOR, NOOR ZAIDI ROHMAT

"Persiapan untuk final ini seperti biasa, sama seperti perlawanan sebelum ini. Cuma kita lebih tekankan aspek fokus kerana SSBJ B-17 bukan lawan yang mudah dan insyaAllah kita akan lebih fokus sepanjang 90 minit perlawanan esok.

 "Ya, memang sepanjang empat perlawanan peringkat kalah mati setakat ini kami hanya bolos sekali kerana aspek bertahan telah kita lebih tekankan. Ini kerana dalam saingan kalah mati, kita tak boleh leka dan perlu lebih berdisiplin ketika bertahan.

 "Alhamdulillah sepanjang perlawanan suku akhir dan separuh akhir kita berjaya untuk lebih berdisiplin ketika bertahan dan harap malam esok kita akan lebih berdisiplin lebih-lebih lagi berdepan barisan muda SSBJ B-17.

 "Masalah besarnya adalah kerana SSBJ B-17 ini dibarisi pemain berusia 17 tahun. Kebiasaan jika pemain berdepan lawan yang usianya lebih muda, mereka akan berasa 'over confident'. Jadi saya akan pastikan pemain Selangor tidak bersikap sedemikian pada perlawanan malam esok.

 "Kita kena ingat pasukan SSBJ B-17 ini bukan sekadar pasukan kelab yang dibarisi pemain 17 tahun, sebaliknya mereka adalah pasukan kebangsaan B-17 yang mana menghimpunkan pemain-pemain terbaik berusia 17 tahun dari seluruh negara. Jadi kami perlu lebih fokus.

 "Status sebagai juara bertahan, ya sudah tentu mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar daripada memburu kejuaraan. Tapi insyaAllah saya tidak akan meletakkan tekanan terhadap para pemain. Biarlah mereka main secara normal, dapat menikmati aksi final dan ambil ia sebagai pengalaman berguna."

 

KOMEN KETUA JURULATIH SSBJ B-17, REDUAN ABDULLAH

"Sudah tentu kita sudah melakukan persiapan rapi ke arah final ini. Pemain-pemain pun sudah tidak sabar menunggu saat untuk beraksi di pentas final ini. Mereka yang cedera juga sudah pulih dan kami cukup bersedia untuk beraksi malam esok.

 "Sudah tentu pada permulaan saingan Piala Belia ini kami memikirkan yang pasukan kami ini hanya dibarisi pemain berusia 17 tahun yang perlu berdepan lawan berusia 19 tahun. Jadi kami telah mengambil cabaran untuk memberi saingan dalam liga yang lebih kompetitif buat kami ini.

 "Kita dapati yang cabaran pada mulanya begitu tinggi kerana jurang perbezaan umur 17 tahun dan 19 tahun. Tapi dari semasa ke semasa, saya lihat ada peningkatan komitmen dalam latihan untuk para pemain mengatasi kelemahan yang ada dan apa yang kita terapkan untuk permainan, mereka dapat menyesuaikan diri. Itu yang penting.

 "Selepas menang 2-0 di tempat sendiri ke atas Kedah pada aksi separuh akhir pertama, kita lihat peluang ke final masih terbuka pada aksi kedua di tempat lawan kerana Kedah pun mahukan kemenangan di tempat mereka.

 "Apabila keadaan padang di sana yang didapati tidak sesuai dengan cara kami bermain seperti biasa, saya terpaksa tukar taktikal permainan untuk menyerap tekanan daripada Kedah dan alhamdulillah kami tetap dapat ke final biarpun tewas 1-0.

 "Jadi untuk aksi final pertama malam esok ini, kami akan main seperti biasa, apa yang kita lakukan dalam latihan dan perlawanan sebelum ini. Jika ada perubahan taktikal pun, pada separuh masa kedua, tengok kepada keadaan pemain dan kedudukan semasa permainan."