SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN AKHIR PERTAMA PIALA FAM 2016, MISC-MIFA LWN PKNP FC

2016-10-20 

Menjelang Perlawanan Akhir Pertama Piala FAM 2016 antara MISC-MIFA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di Stadium Shah Alam pada Khamis, 20 Oktober 2016, satu sidang media praperlawanan telah berlangsung di Stadium Shah Alam, petang tadi.

Sidang media berkenaan telah dihadiri ketua jurulatih MISC-MIFA, Jacob Joseph dan ketua pasukan, K Premanathan serta ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim dan penolong ketua pasukan, Hairol Fazreen Abu Hassan.

MISC-MIFA selaku naib juara Kumpulan B musim lepas, muncul juara Kumpulan A sebelum meneruskan rentak cemerlang mengatasi pasukan tangga keempat Kumpulan B, KDMM FC di suku akhir dan seterusnya pasukan tangga ketiga Kumpulan A, AirAsia Allstars FC.

PKNP FC yang juga pasukan baharu musim ini muncul juara Kumpulan B sebelum terus cemerlang menewaskan pasukan tangga keempat Kumpulan A, Sungai Ara FC di suku akhir disusuli kejayaan menumpaskan naib juara Kumpulan A, Felcra FC di separuh akhir.

Perlawanan Akhir Pertama Piala FAM 2016 menyaksikan MISC-MIFA bertindak sebagai tuan rumah dengan sepak mula perlawanan jam 8.45 malam esok. Masuk adalah percuma. Perlawanan tersebut turut akan disiarkan secara langsung di Astro Arena, Saluran 801 dan 802 HD.

Sementara Perlawanan Akhir Kedua Piala FAM 2016 di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis depan, 27 Oktober pula akan menyaksikan PKNP FC bertindak sebagai tuan rumah.

Berikut komen Jacob dan Abu Bakar pada sidang media, petang tadi menjelang Perlawanan Akhir Pertama Piala FAM 2016, malam esok:

 

KOMEN KETUA JURULATIH MISC-MIFA, JACOB JOSEPH

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain saya yang telah berjaya membantu pasukan untuk mara ke pusingan akhir Piala FAM. Bagi pasukan saya juga, rata-rata pemain tidak pernah beraksi di pentas perlawanan akhir kecuali K Nanthakumar.

“Saya hormati PKNP FC sebagai pasukan yang bagus kerana mereka mempunyai pemain-pemain muda yang berkualiti serta barisan tengah dan serangan yang baik. Kalau dibandingkan barisan serangan kedua-dua pasukan, saya lihat PKNP FC mempunyai kelebihan.

“Saya juga berharap para pemain tidak terbawa-bawa dengan kejayaan menyingkirkan AirAsia Allstars FC pada pusingan separuh akhir sebelum ini. Sebagai jurulatih, saya percaya bahawa pasukan saya mempunyai semangat berpasukan yang kuat dan akan berjuang bermati-matian sehingga wisel penamat.”

 

KOMEN KETUA JURULATIH PKNP FC, ABU BAKAR FADZIM

“Alhamdulillah, kita mempunyai rekod tanpa kalah di tempat sendiri pada tahun ini dan motivasi ini sentiasa ada pada pemain untuk menggalas tanggungjawab terhadap pasukan dan akhirnya kita berjaya ke perlawanan akhir Piala FAM.

“Persediaan PKNP FC berjalan lancar dan kita sedar bahawa kita datang ke sini sebagai pasukan pelawat.  Bagaimanapun, saya yakin pasukan saya berada dalam keadaan bersedia di mana kami kehilangan dua pemain, tetapi pemain yang bakal menggalas tugas menggantikan mereka sudah bersedia.

“Bagi saya, MISC-MIFA adalah pasukan pilihan kerana ini merupakan tahun ketiga mereka bertanding di Piala FAM dan mereka mempunyai barisan pemain berpengalaman seperti K Nanthakumar.

“Ya, atas kertas, mereka pasukan pilihan dan kami hormati mereka dari segi pengalaman yang mereka miliki. Tetapi bila tiba perlawanan, saya mengharapkan keputusan yang sebaliknya.

“Saya sudah mengingatkan pasukan bahawa perlawanan akhir ini adalah aksi timbal balik. Jadi, kita perlu mencari kelebihan dari segi jaringan pada aksi di Stadium Shah Alam ini dan sasaran kita ialah untuk tidak bolos serta tidak kalah supaya final di Stadium Perak nanti bakal memberi kelebihan kepada kita kelak.”