SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN MALAYSIA LWN PAPUA NEW GUINEA

2016-11-13

Berikut butiran sidang media praperlawanan yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi.

 Ia menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa "A" antara Malaysia bertemu Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada esok (Isnin, 14 November 2016), sepak mula jam 3.00 petang.

 Sidang media berkenaan dihadiri ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan pemain pertahanan, Shahrom Abdul Kalam serta ketua jurulatih Papua New Guinea, Flemming Serritslev dan kapten mereka, David Muta.

 Malaysia kini di tangga ke-164 dunia dalam kedudukan ranking terbaharu FIFA manakala Papua New Guinea di tangga ke-159.

 Kedua-dua pasukan sebelum ini pernah bertembung pada aksi persahabatan di Stadium Sir John Guise, Port Moresby pada 17 Jun lalu yang menyaksikan Malaysia tewas 2-0 menerusi dua jaringan pemain sayap kiri, Tommy Semmy pada minit ke-35 dan 42.

 Pertembungan petang esok merupakan perlawanan terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar pada Rabu ini bagi menghadapi saingan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bertemu Kemboja (20 November), Vietnam (23 November) dan Myanmar (26 November).

 Bagi penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan ini, masuk adalah percuma.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Sudah tentu kita mahukan kemenangan kerana ini adalah perlawanan terakhir sebelum kita berlepas ke Yangon dan penting untuk mendapatkan kemenangan bagi memberikan suntikan moral kepada semua pemain.

 "Namun apa yang penting di sini adalah untuk para pemain mempamerkan corak permainan yang lebih teratur dan tersusun, di mana kita perlu memperbaiki lagi segala kelemahan yang ada sebelum aksi sulung Piala Suzuki AFF 2016 bertemu Kemboja, Ahad depan.

 "Apa pun bukan mudah berdepan Papua New Guinea biarpun mereka tewas 8-1 kepada Iran pada aksi persahabatan baru-baru ini. Tapi yang penting saya mahu lihat corak permainan yang kita ingin terapkan untuk berdepan Kemboja, berbanding terlalu banyak memikirkan tentang Papua New Guinea.

 "Saya percaya penyokong yang datang ke stadium adalah penyokong yang 'genuine' (tulen) tanpa mengira pasukan kita kalah atau menang. Saya sudah dikritik dari awal tahun lagi, jadi saya tidak peduli dengan kritikan-kritikan ini dan kritiklah saya selepas Piala Suzuki AFF 2016 nanti. Saya terima.

 "Jadi bagi saya, pemain tak seharusnya memikirkan tentang kritikan ini. Yang penting, kita ambil kritikan itu sebagai motivasi. Jadi kritiklah lagi, saya akan lebih bermotivasi.

 "Itu bukan masalah saya, bukan juga masalah pemain di mana pemain pun mempunyai matlamat dan matlamat kita semua adalah sama iaitu untuk melihat pasukan negara kita mencapai keputusan lebih baik di Piala Suzuki AFF 2016 nanti."

 

KOMEN PEMAIN PERTAHANAN MALAYSIA, SHAHROM ABDUL KALAM

"Saya rasa, semua pemain dalam keadaan bersedia ketika ini kerana segala persiapan kita menjelang Piala Suzuki AFF 2016 berjalan begitu lancar.

 "Bagi saya, untuk perlawanan menentang Papua New Guinea ini, setiap perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan adalah sama pentingnya. Kita tak boleh ambil mudah biar mana pasukan sekali pun yang bakal kita hadapi.

 "Tapi memandangkan ini perlawanan terakhir sebagai persiapan kita untuk menghadapi Piala Suzuki AFF 2016, saya kira perlawanan ini juga penting dan kami sebagai pemain sentiasa bersedia dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain."