SIDANG MEDIA PRAPERLAWANAN TIMOR-LESTE LWN MALAYSIA

2016-06-05

Berikut komen ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee pada sidang media praperlawanan yang berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton, Johor Bahru, tengah hari tadi.

 Ia menjelang perlawanan kedua Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 antara Timor-Leste bertemu Malaysia di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin, 10.00 malam esok (Isnin, 6 Jun 2016) yang mana Timor-Leste bertindak selaku pasukan tuan rumah.

 Pada perlawanan pertama yang berlangsung di stadium sama, Khamis lalu (2 Jun 2016), Malaysia selaku pasukan tuan rumah berjaya menewaskan Timor-Leste 3-0 menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri dan satu lagi gol menerusi pemain gantian, Amri Yahyah.

 Hadir sama pada sidang media berkenaan ialah pemain tengah skuad Harimau Malaysia, Baddrol Bakhtiar serta ketua jurulatih Timor-Leste, Fabio Joaquim Maciel da Silva dan pemainnya, Diogo Santos Rangel.

 Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking FIFA pada petang Khamis lalu, Malaysia kini di ranking ke-173 dunia manakala Timor-Leste di tangga ke-177.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Persiapan berjalan amat baik dan sudah tentu kita tetap harus berwaspada untuk menghadapi perlawanan kedua, malam esok biarpun sudah mendahului 3-0 secara agregat pada perlawanan pertama, Khamis lalu.

 "Setiap perlawanan apabila kita turun, sudah tentu kita mahukan kemenangan. Paling mustahak esok ialah kita mahu layak ke peringkat seterusnya. Jadi para pemain perlu kekal fokus sehingga ke wisel penamat.

 "Mengenai kecederaan dialami Shahrom Kalam dan Brendan Gan pada perlawanan pertama tempoh hari, kedua-duanya nampak bertambah baik dan kita ada satu lagi sesi latihan petang ini sebelum memutuskan sama ada mereka boleh beraksi atau tidak.

 "Penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan pula mengalami kecederaan lama di bahagian buku lali dan kita akan teliti terlebih dahulu sebelum memberi katas putus sama ada dia dapat diturunkan atau tidak untuk perlawanan malam esok.

 "Untuk menghadapi perlawanan kedua ini, kita harus bersiap sedia daripada segala aspek perancangan terutama kita tidak pasti apa yang mereka akan lakukan dan pada masa sama kita harus bersedia jika mereka menggunakan corak permainan pantas dan mengasak dari awal perlawanan.

 "Kita harus tahu mengendalikan situasi. Esok adalah perlawanan yang penting di mana ia akan menguji dari segi mentaliti pemain kita untuk mengawal situasi.

 "Hari pertama umat Islam berpuasa esok, saya rasa tiada masalah kepada pemain kerana bersama pasukan kelab dan negeri, mereka pernah bermain di bulan puasa pada musim lalu. Bagi saya, pemain sudah biasa biarpun sepak mula perlawanan agak lewat. Saya tak nampak ia akan memberi sebarang masalah.

 "Kita turut mempunyai pakar pemakanan dari ISN bersama dalam pasukan. Jadi kita perlu teliti apa makanan yang boleh dimakan oleh pemain pada waktu berbuka puasa (kira-kira 3 jam sebelum sepak mula perlawanan)."