SIRI PERLAWANAN PERSAHABATAN: VIETNAM 5 MALAYSIA 4

2016-01-25

Skuad futsal kebangsaan kendalian Marcelo Serpa tewas 4-5 kepada Vietnam pada aksi persahabatan pertama di Stadium Tertutup Ton Duc Thang, Ho Chi Minh, petang tadi.

Terdahulu pada tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand sebelum ini, Malaysia bangkit untuk membelasah Chonburi FC (22 Januari 2016) 6-1 setelah tewas 5-8 kepada Jordan (21 Januari 2016) dan tumpas 4-6 kepada Thailand (19 Januari 2016).

Ala berusia 25 tahun, Akmarulnizam Mohd Idris menjaringkan dua gol untuk skuad negara manakala dua lagi gol disumbat oleh Saiful Nizam Mohamad Ali dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir.

Malaysia bakal mengakhiri siri perlawanan persahabatan menentang Vietnam di Stadium Tertutup Thai Son Nam, esok (26 Januari 2016).

KOMEN KETUA JURULATIH SKUAD FUTSAL LELAKI, MARCELO SERPA

“Bagi saya, kedua-dua pasukan berupaya untuk menang dan bezanya cuma pasukan Vietnam lebih fokus pada saat-saat penentu perlawanan. Keseluruhannya, perlawanan petang tadi merupakan ujian yang baik buat pasukan kami.

“Kami sudah berada di landasan yang betul tetapi masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki lagi. Skuad negara akan ada satu lagi perlawanan menentang Vietnam esok dan saya berharap pemain-pemain mampu untuk mempertingkatkan prestasi  masing-masing dan mencapai kemenangan."