SKUAD HARIMAU MALAYSIA SAH BERTEMU MACAU, 29 MAC

2016-03-01

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee secara rasmi akan bertemu Macau untuk perlawanan persahabatan A di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Selasa, 29 Mac 2016.

 Ia bagi mengisi slot memandangkan skuad Harimau Malaysia tidak beraksi pada hari terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada tarikh berkenaan selepas menutup kempen Kumpulan A menentang Arab Saudi di Stadium King Abdullah, Jeddah pada 24 Mac.

 “Selepas bertemu Arab Saudi di Jeddah, kita akan terus pulang ke tanah air pada awal pagi 25 Mac dan tiba di KLIA pada sebelah petangnya, lalu pasukan terus ke Melaka sehingga hari perlawanan bertemu Macau pada 29 Mac.

 “Kita sudah cuba menghubungi beberapa pasukan tetapi kebanyakan mereka terlibat beraksi pada hari perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu.

 “Akhirnya kita dapat juga pasukan yang tidak terlibat iaitu Macau yang mana mereka terlebih dahulu memaklumkan bersetuju untuk beraksi menentang kita.

 “Kita perlu segera menetapkan siapa pasukan lawan yang mana ia penting bagi memudahkan persiapan kita,” kata Kim Swee kepada www.fam.org, hari ini.

 Berdasarkan ranking FIFA pada kemas kini terakhirnya 4 Februari lalu, Malaysia kini di kedudukan ke-171 dunia manakala Macau di kedudukan ke-195.

 Ditanya harapannya untuk aksi bertemu Macau itu, Kim Swee berkata: “Harap kita mampu mendapatkan kemenangan terutamanya jika melihat kepada ranking kita. Pada masa sama, perlawanan ini penting bagi memastikan kita tidak ketinggalan terutama dalam proses memperbaiki kedudukan ranking.”

 Senarai nama pemain dipanggil untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaysia kali ini dijangka diumum Kim Swee pada 13 Mac ini dan pemain diminta berkumpul di Wisma FAM, Kelana Jaya pada pagi 20 Mac sebelum berlepas ke Jeddah pada sebelah petang hari yang sama untuk aksi bertemu Arab Saudi.

 Ini merupakan panggilan sulung skuad Harimau Malaysia sejak Kim Swee dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan pada 18 Januari lalu dan skuad kebangsaan menggunakan nama gelaran baharu Harimau Malaysia yang diumumkan pada 2 Februari lalu.