SKUAD PROJEK SUKAN SEA SERTAI NATIONS CUP 2016

2016-04-05 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MP & Silva, hari ini mengumumkan pelancaran kejohanan bola sepak peringkat umur Nations Cup yang bakal menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah buat julung kalinya.

Nations Cup mensasarkan untuk menjadi kejohanan tahunan terulung yang menampilkan aksi bola sepak berkualiti buat skuad antarabangsa di Asia Tenggara, dianjurkan oleh agensi sukan terulung MP & Silva. Bermatlamatkan untuk mempromosikan bola sepak antarabangsa di rantau ini, Piala Negara-Negara Asia Tenggara akan melengkapkan kalendar bola sepak menjelang Sukan SEA 2017.

Edisi pertama akan berlangsung pada 3 & 5 Jun 2016 di Stadium Hang Jebat, Melaka dan menampilkan pasukan bawah 21 tahun yang menyaksikan Malaysia diwakili skuad Projek Sukan SEA 2017 kendalian Frank Bernhardt menjadi tuan rumah kepada Thailand, juara Sukan SEA, jiran Singapura dan pemenang pingat gangsa, Vietnam. Dua pasukan teratas akan mara ke final selepas berakhirnya jadual perlawanan pusingan pertama.

Peminat di Asia Tenggara boleh menjangkakan aksi menarik daripada bintang bola sepak dalam pembikinan sebagai previu menjelang Piala Suzuki AFF 2016 dan Sukan SEA 2017 yang bakal dilangsungkan di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin, berkata: “Nations Cup menjanjikan cabaran besar buat pasukan kebangsaan kita. Pemain akan berdepan lawan sukar terutamanya dari Thailand, Vietnam dan Singapura, yang akan membentuk persiapan pasukan kebangsaan bagi Sukan SEA. Kejohanan ini adalah permulaan dalam perancangan kami buat pasukan kebangsaan.”

Pengarah Urusan MP & Silva, Asia Pasifik, Beatrice Lee, berkata; “Nations Cup bukan sekadar kejohanan bola sepak serantau. Kami melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang MP & Silva dalam rantau ini untuk memperkembangkan semangat bola sepak kompetitif sejak usia muda. Bola sepak memiliki tradisi lama berbanding sukan lain dan kami berharap inisiatif ini dapat membantu sukan ini terus berkembang di Asia.”

Presiden FAS, Zainudin Nordin, berkata: “Kami gembira untuk mengumumkan penyertaan kami dalam Nations Cup yang menawarkan skuad pembangunan remaja kami peluang untuk bersaing bagi meningkatkan diri ke tahap elit. Ia adalah penting buat pasukan kebangsaan kami, termasuk di peringkat umur, untuk bersaing dalam lebih banyak perlawanan antarabangsa dan kejohanan empat penjuru yang akan membolehkan pemain mendapatkan pengalaman untuk bersaing di peringkat antarabangsa.”

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Pol. Gen. Somyos Pumpanmuang, berkata: “Kami gembira kerana dijemput menyertai Nations Cup, yang membolehkan pasukan pembangunan remaja kami peluang untuk bersaing dan berkembang ke tahap elit. Pasukan teknikal kami mengalu-alukan pendedahan tambahan di peringkat antarabangsa buat pasukan bawah 21 tahun kami dan berharap untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan ini untuk jangka masa panjang.”

Presiden Persatuan Bola Sepak Vietnam, Lê Hùng Dũng, berkata: “Asia Tenggara memerlukan lebih banyak kejohanan seperti Nations Cup untuk memperkembangkan bakat pemain bola sepak. Ini adalah peluang baik buat pemain untuk menunjukkan mengapa mereka berhak mendapat panggilan ke skuad senior dan ini adalah penting buat pemain muda untuk didedahkan kepada pelbagai gaya permainan pada usia muda untuk membantu mereka memperkembangkan kemahiran bola sepak mereka.”

* SIARAN MEDIA OLEH MP & SILVA