SKUAD SOMASUNDRAM SASAR SEPARUH AKHIR KEJUARAAN B-16 AFF 2016

2016-07-09

Skuad B-16 negara kendalian P Somasundram kini berada di Phnom Penh, Kemboja untuk menyertai Kejuaraan B-16 AFF 2016 yang akan bermula pada Ahad, 10 Julai hingga 23 Julai 2016.

 Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama naib juara tahun lalu Myanmar, Australia, Filipina, Vietnam dan Singapura manakala Kumpulan B hanya menampilkan lima pasukan terdiri daripada juara bertahan Thailand, tuan rumah Kemboja, Laos, Timor-Leste dan Brunei.

 Skuad negara yang tiba di Phnom Penh semalam (Jumaat) akan memulakan kempen berdepan Vietnam pada Ahad (10 Julai) di Stadium Olympic, 6.30 petang waktu Kemboja diikuti aksi kedua bertemu Filipina di stadium sama pada Selasa (12 Julai) 3.30 petang.

 Aksi ketiga, skuad negara akan menghadapi Singapura pada Khamis (14 Julai) di Stadium Army, 3.30 petang disusuli aksi keempat menentang Myanmar pada Sabtu (16 Julai) di Stadium Olympic, 6.30 petang.

 Perlawanan kelima dan terakhir bagi Kumpulan A, skuad negara bakal berdepan Australia pada Isnin (18 Julai) di Stadium Olympic, 3.30 petang.

 Jika berjaya muncul dua pasukan teratas kumpulan, skuad negara akan beraksi pada perlawanan separuh akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Olympic pada Khamis (21 Julai) disusuli perlawanan penentuan tempat ketiga dan kemuncaknya aksi final di stadium berkenaan pada Sabtu (23 Julai).

 Pada edisi tahun lalu yang juga berlangsung di Phnom Penh, Thailand muncul juara selepas menewaskan Myanmar 3-0 di final manakala Australia di tempat ketiga selepas membelasah Laos 10-2 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

 Malaysia yang ketika itu turut dibimbing Somasundram gagal ke separuh akhir selepas menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga di belakang Laos dan Thailand dalam kumpulan yang turut disertai Vietnam, Timor-Leste dan Brunei itu.

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA B-16, P SOMASUNDRAM:

"Untuk persiapan menghadapi kejohanan ini, kami hanya dapat berlatih satu sesi pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan iaitu pada sebelah malam.

 "Tapi kami telah mengadakan kem latihan pusat di Jepun selama 10 hari bermula 22 Jun lalu dan sempat menghadapi empat perlawanan persahabatan di sana dengan mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

 "Bagi Kejuaraan B-16 AFF kali ini, kami diundi dalam kumpulan yang agak sukar terutama apabila terpaksa berdepan pasukan seperti Australia, Myanmar dan Vietnam.

 "Apa pun kami tetap meletakkan sasaran untuk layak ke separuh akhir memandangkan pada edisi tahun lalu kami telah kandas pada saingan peringkat kumpulan."

 

SENARAI 23 PEMAIN SKUAD MALAYSIA KE KEJUARAAN B-16 AFF 2016:

 

1. Muhammad Rafiq Kamaruddin (GK)

2. Abdul Hadi Hasbollah

3. Arham Khussyairi Ab Wahab

4. Xsevier Xcico Felex

5. Harzanhafiz Hazlizanizan Ahwal

6. Muhammad Iqbal Hakem Mohd Hata

7. Arif Shaqirin Suhaimi

8. Amirul Fazly Mohd Zamri

9. Muhammad Izreen Izwandy

10. Zainul Arifin Ahmad Latifi

11. Muhammad Amirul Husaini Zamri

12. Nor Amirul Awang

13. Muhamad Feroz Baharudin

14. Mohammad Najmi Idham Johan

15. Muhammad Alif Safwan Mohd Sallahuddin

16. Aidilmirza Darwisy Mazhisam (GK)

17. Muhammad Faris Mohd Zabri

18. Mohamad Khussaini Adli Mohd Yusof

19. Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau

20. Muhamad Aiman Mohd Zaidi

21. Muhammad Nizarruddin Jazi

22. Muhammad A'sif Maszarry

23. Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil (GK)