Skuad Sukan SEA menang aksi persahabatan kedua bertemu Sabah

Skuad B-23 negara, Harimau Muda kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee mencatat kemenangan pada aksi persahabatan kedua untuk fasa terakhir kem latihan pusat menjelang Sukan SEA 2015 selepas menewaskan pasukan Liga Perdana, Sabah 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.
 
 Selepas mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Nurridzuan Abu Hassan seawal minit pertama, skuad Harimau Muda itu berjaya menambah dua lagi gol pada babak kedua hasil jaringan Faizat Ghazli pada minit ke-55 dan sepakan penalti Farhan Roslan, minit ke-83.
 
 Biarpun menang buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan pasukan Liga FAM, Real Mulia FC 4-1 di Bangi, Isnin lalu, Kim Swee enggan cepat berpuas hati dan mahu peningkatan terus dipamerkan pada aksi persahabatan terakhir bertemu skuad B-23 Indonesia di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, 21 Mei ini.
 
 "Keputusan menang atau kalah bukan matlamat utama kunjungan ke Sabah ini. Tapi saya dapat lihat perkembangan positif dalam persiapan kita apabila para pemain berjaya bangkit pada babak kedua ketika bertemu Real Mulia dan malam ini mereka terus menunjukkan peningkatan.
 
 "Tapi masih banyak lagi yang perlu kita perbaiki terutama dalam situasi tertentu ketika permainan. Biarpun Sabah tidak menurunkan kesemua pemain import, mereka tetap memberi tentangan cukup sengit.
 
 "Jadi program persiapan kita ke Sukan SEA nampak berjalan seperti dirancang. Saya harap persembahan ketika bertemu Indonesia B-23 nanti lebih baik dan ia akan menguji kekuatan sebenar kita," kata Kim Swee selepas perlawanan.
 
 Kim Swee menurunkan Syazwan Yusoff selaku penjaga gawang manakala Arip Amiruddin, Adam Nor Azlin, Shahrul Saad dan Fandi Othman mengemudi benteng pertahanan.
 
 Tiga pemain mengawal bahagian tengah - Akram Mahinan, Nazmi Faiz Mansor dan Gary Steven Robbat yang diberi lilitan lengan selaku kapten manakala jentera serangan diterajui Rozaimi Abd Rahman sambil dibantu Nurridzuan dan Faizat.
 
 "Selepas memasukkan Firdaus Muhammad menggantikan Syazwan di posisi penjaga gol pada babak kedua, saya mula melakukan pertukaran demi pertukaran selepas minit ke-60 untuk memberi peluang pemain lain beraksi," tambah Kim Swee.
 
 Skuad B-23 negara akan pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu dan diberi rehat sehari sebelum menyambung semula sesi latihan pada Isnin.
J Category: 
uncategorised8