Tengku Abdullah umum Dato' Hamidin pengurus baharu Harimau Malaya

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai pengurus skuad kebangsaan yang baharu pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
 
 Pelantikan baharu terpaksa dibuat selepas Naib Presiden FAM, Datuk Sudarsono Osman membuat keputusan meletak jawatan selaku pengurus skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh itu, Mac lalu.
 
 "Kita menawarkan jawatan pengurus pasukan ini kepada ahli-ahli exco (Jawatankuasa Eksekutif FAM) yang lain tetapi tiada siapa yang mahu tampil ke hadapan.
 
 "Jadi mesyuarat hari ini memutuskan untuk melantik Hamidin sebagai pengurus skuad kebangsaan dan kita akan lantik seorang bekas pemain kebangsaan sebagai penolong pengurus pasukan. Setakat ini belum ada nama dicadangkan.
 
 "Kita juga akan kaji untuk masa akan datang, supaya ketua jurulatih turut memegang peranan sebagai pengurus pasukan atau mendapatkan bekas pemain kebangsaan untuk menduduki jawatan ini," kata Tengku Abdullah pada sidang media, hari ini.
 
 Ditanya mengenai ranking Malaysia yang kini di kedudukan ke-166 dunia, Tengku Abdullah berkata: "Kita ambil satu langkah demi satu langkah. Sebagai permulaan, kita cuba baiki sekurang-kurangnya 10 anak tangga lebih baik.
 
 "Apa yang mahu kita lihat selepas ini ialah masa untuk persiapan pasukan dan siapa yang akan kita bertemu (untuk aksi persahabatan). Sekurang-kurangnya kita perlu rancang sebaik mungkin supaya ranking dapat diperbaiki."
 
 Sementara itu, berhubung cadangan menggabungkan pertandingan Piala FA dan Piala Malaysia supaya jadual domestik tidak terlalu padat, Tengku Abdullah berkata, perkara itu akan dibincangkan sesama pemegang taruh sebelum ia dimuktamadkan.
 
 "Kita akan terus bincang. Tadi ada beberapa opsyen yang dicadangkan. Kita akan bawa ia pada mesyuarat akan datang kerana mahu beri ruang kepada semua pemegang taruh termasuk pasukan dan individu untuk memberi padangan," jelas baginda.
 
 Tengku Abdullah turut mengumumkan penganjuran Liga Bola Sepak Rakyat bakal bermula Ogos ini dengan butiran dan format pertandingannya akan diberitahu kelak.
 
 "Objektif liga ini ialah untuk cuba mendapatkan lebih ramai pemain dari status amatur selain dapat memperbanyakkan bilangan pengadil dan jurulatih apabila ia dilangsungkan di 120 buah daerah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.
 
 Turut berlangsung selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM itu ialah majlis meraikan kejayaan Tengku Abdullah terpilih sebagai Exco Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Manama, Bahrain, 30 April lalu.
 
 Pada majlis berkenaan, Tengku Abdullah turut memperkenalkan pengadil wanita negara, Rita Gani dan pembantu pengadil, Widiya Habibah Shamsuri yang kedua-duanya berusia 38 tahun terpilih mengadili perlawanan Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada, bulan depan.
 
 "Ini satu penghargaan di atas usaha mereka selama ini. Saya bangga dengan pemilihan ini dan ia lebih besar sebenarnya daripada pelantikan saya sebagai Exco FIFA.
 
 "Ini tanggungjawab yang perlu dilaksanakan mereka sebaik mungkin dan saya ucapkan selamat berjaya kepada Rita dan Widiya," ujarnya.
J Category: 
uncategorised7