TIGA AKSI PERSAHABATAN DI BANGKOK PENTING BUAT SKUAD FUTSAL HARIMAU MALAYSIA - CHUN YONG

2017-01-15

Ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong menyifatkan tiga perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaysia bertemu kelab Thailand di Bangkok bermula esok sebagai tempoh cukup penting menjelang sepak mula Kejuaraan Futsal AFF 2016 pada 23 Januari ini.

 Barisan 14 pemain skuad Harimau Malaysia berlepas ke Bangkok, tengah hari tadi untuk siri perlawanan persahabatan menentang Royal Thai Navy pada 16 Januari (Isnin), Bangkok BTS FC pada 18 Januari (Rabu) dan Thai Port FC pada 20 Januari (Jumaat).

 "Setiap perlawanan itu nanti saya akan cuba beberapa taktikal dan strategi untuk melihat sama ada pemain kita terutama pemain muda boleh melakukan sistem yang diterapkan terutama apabila berdepan lawan yang memiliki skil, corak permainan dan kepantasan lebih tinggi.

 "Selain itu, kita juga akan lebih banyak mengkaji corak permainan dan apa lagi yang perlu diperbaiki dalam tempoh seminggu sebelum kejohanan sebenar bermula.

 "Apa yang paling penting adalah untuk melihat sejauh mana kemampuan pemain menyesuaikan diri dengan corak permainan dan strategi kita," kata Chun Yong kepada www.fam.org.my di KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Bangkok, tengah hari tadi.

 Terdahulu sejak dikumpulkan untuk kem latihan pusat bermula 22 Disember lalu, skuad Harimau Malaysia menang lima perlawanan persahabatan tempatan bertemu UPSI 12-0 (30 Disember), KL Petaling Putra 12-2 (31 Disember), Kuantan Rangers 5-2 (7 Januari), Kuala Lumpur TPD 13-0 (8 Januari) dan MBPP 7-0 (10 Januari) sebelum diikat Pahang 4-4 pada Jumaat lalu.

 "Secara jujurnya, pasukan ini masih belum mencapai tahap yang saya inginkan sepanjang siri aksi persahabatan tempatan sebelum ini, terutama dari segi sistem permainan. Para pemain nampak tidak begitu biasa lagi dengan sistem baharu ini.

 "Tapi saya faham yang para pemain memerlukan masa dan lebih lagi perlawanan untuk membiasakan diri menggunakan sistem ini. Jadi harap mereka lebih fokus dan berusaha lebih gigih memperkemaskan corak permainan menjelang sepak mula kejohanan," jelas Chun Yong.

Skuad futsal Harimau Malaysia bakal membuka kempen Kejuaraan Futsal AFF 2016 bagi saingan Kumpulan B bertemu Indonesia pada 23 Januari diikuti aksi kedua bertemu Laos (24 Januari) dan aksi ketiga bertemu Myanmar (25 Januari).

 Jika layak ke separuh akhir, mereka akan bertemu pasukan dari Kumpulan A yang terdiri daripada Thailand, Brunei dan Timor-Leste pada 27 Januari untuk memburu tempat ke pentas final pada 29 Januari.

 Kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok. - FAM

 

SENARAI 14 PEMAIN KE KEJUARAAN FUTSAL AFF 2016:

Muhammad Awaluddin Hassan, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin, Saiful Aula Ahmad (SELANGOR), Azrul Hadee Mohd Taufiq, Saiful Nizam Mohamad Ali, Mohd Azwann Ismail, Muhammad Azri Rahman, Abu Haniffa Hassan (FELDA UNITED), Mohd Firdaus Razali, Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Muhammad Aidil Shahril Rosli (MPSJ), Akmarulnizam Mohd Idris (PAHANG), Mohd Ridzwan Bakri (SABAH), Mohd Awalludin Mat Nawi (PERAK).