TIGA HARI LATIHAN TAKTIKAL - KIM SWEE

2016-06-15

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menggunakan sepenuhnya tiga sesi latihan di Brisbane, Australia bagi memperkemas taktikal dan corak permainan skuad Harimau Malaysia menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa "A" pertama dalam siri Jelajah Oceania 2016 bertemu Papua New Guinea (PNG) di Port Moresby, Jumaat ini (17 Jun).

 Selepas tiba di Brisbane pada tengah hari Ahad (12 Jun), sesi latihan pada malam hari berkenaan di Queensland Sport & Athletics Centre (QSAC) lebih tertumpu untuk memulihkan kecergasan para pemain selepas mengharungi penerbangan hampir lapan jam dari Kuala Lumpur melalui Gold Coast.

 Seterusnya, sesi latihan malam di QSAC pada Isnin dan Selasa menyaksikan Kim Swee telah memberi fokus sepenuhnya dalam aspek taktikal, begitu juga untuk sesi latihan terakhir yang akan diadakan di Brisbane Grammar School, petang ini sebelum skuad Harimau Malaysia terbang ke Port Moresby, pagi esok.

 "Pertama, satu perkembangan positif untuk melihat semua pemain dalam keadaan yang baik di mana mereka telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi sepanjang latihan. Pada masa sama, kita mendapat tiga sesi latihan yang cukup baik di sini terutama dari segi taktikal.

 "Paling mustahak, semua pemain yang berada dalam skuad kali ini harus memahami dengan lebih baik berbanding ketika mereka mula dikumpulkan dulu apabila kita hanya mempunyai sedikit masa.

 "Jadi apabila kini kita mempunyai masa lebih banyak untuk bersama, saya percaya kebanyakan pemain sudah memahami dengan lebih baik corak permainan yang mahu saya terapkan," kata Kim Swee kepada www.fam.org.my, hari ini.

 Pengendali berusia 46 tahun itu turut membayangkan untuk memberi peluang kepada beberapa pemain yang tidak beraksi langsung pada dua perlawanan Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste, 2 dan 6 Jun lalu untuk diturunkan pada aksi menentang PNG, Jumaat ini.

 "Seperti yang saya katakan, pemain-pemain yang tak beraksi sebelum ini akan diberi peluang dan mereka harus tahu apa tugas mereka apabila diturunkan bertemu PNG.

 "Saya mahu melihat mereka juga mampu beraksi sebaik mungkin sama seperti pemain-pemain yang diturunkan ketika kita bertemu Timor-Leste.

 "Saya inginkan keseimbangan dalam pasukan di mana jika berlaku sesuatu kepada pemain-pemain utama, saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pengganti dalam pasukan," jelas Kim Swee.

 Selepas pertemuan dengan PNG yang berkedudukan ranking ke-193 dunia, skuad Harimau Malaysia yang kini di ranking ke-173 bakal melengkapkan siri Jelajah Oceania 2016 dengan aksi bertemu New Caledonia (ranking 183) di Noumea pada 22 Jun dan Fiji (ranking 186) di Nadi pada 26 Jun.