PIALA FAM: FELCRA FC, PKNP FC RAMPAS TANGGA TERATAS

2016-04-04

Felcra FC mengambil alih teraju Kumpulan A selepas menundukkan DYS FC 2-1 tatkala Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) turut merampas tangga teratas Kumpulan B setelah menewaskan Hanelang FC 1-0 pada perlawanan ke-5 Piala FAM 2016, semalam.

Skuad kendalian ketua jurulatih, Yusri Che Lah berjaya bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk meneruskan rekod kemenangan 100 peratus melalui jaringan Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-13 dan Mohd Syafiq Azmi pada minit ke-76 di Stadium Kompleks Sukan Tawau, Sabah.

Di Stadium Mini USIM, Nilai, rekod bersih MISC-MIFA lebur di tangan tuan rumah, Penjara FC yang mencatat kemenangan pertama di laman sendiri menerusi jaringan Zulhelmi Jumai pada minit ke-34 dan penyerang, Mohd Ridzwan Abdul Halim pada minit ke-84.

Bekas penyerang Pulau Pinang, DRB Hicom FC dan Kuala Lumpur, Mohd Saufi Ibrahim pula muncul wira buat skuad Sungai Ara FC apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk menewaskan Persatuan Bolasepak Ipoh 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Pada satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Shahzan Muda FC mencatat kemenangan sulung musim ini setelah menumpaskan Megah Murni FC menerusi jaringan tunggal pemain sayap, Muhammad Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-86.

Sementara itu, PKNP FC meraih kemenangan berharga apabila menewaskan Hanelang FC 1-0 di Padang Astaka Kuala Berang, Terengganu untuk meneraju Kumpulan B dengan 11 mata daripada lima perlawanan.

Di Stadium INSPEN, Bangi, MOF FC kecundang di laman sendiri setelah pasukan pelawat, UKM FC menjaringkan dua gol menerusi Che Mohd Safwan Hazman Che Hassan pada minit ke-33 dan Muhd Hadzirun Che Hamid pada minit ke-87.

Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia berjaya melonjak ke tangga ketiga selepas menumpaskan pasukan baharu, MPKB-BRI-UBES FC 1-0 di Stadium Mini UKM, Bangi menerusi jaringan Muhd Hazim Mohamad pada minit ke-45.

Pada satu lagi aksi Kumpulan B, Kelab Bolasepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC) terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Kelab Bolasepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) apabila seri 0-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Perlawanan keenam akan berlangsung pada Ahad, 10 April 2016.

KUMPULAN A
 
DYS FC 1
Juprey Omopor 1'
FELCRA FC 2
Mohd Faiz Mohd Nasir 13'
Mohd Shafiq Azmi 75'
 
PENJARA FC 2
Zulhelmy Jumai 34'
Mohd Ridzwan Abdul Halim 84'
MISC-MIFA 1
K. Premanthan 40'
 
SUNGAI ARA FC 2
Khairzul Azri Jamal Abdul Haziq 73'
Mohd Saufi Ibrahim 89'
PB IPOH 1
R. Surendren 22'
 
SHAHZAN MUDA FC 1

 

Muhammad Baqiuddin Shamsudin 86'

 

MEGAH MURNI FC 0
 
KUMPULAN B
 
HANELANG FC 0
PKNP FC 1
Muhammad Shahrel Fikri 56'
 
SAMB FC 0
KDMM FC 0
 
PB MELAYU MALAYSIA 1
Muhd Hazim Mohamad 45'
MPKB-BRI UBES FC 0
 
MOF FC 1
Mohd Nizad Ayub 31'
UKM FC 2
Che Mohd Safwan Hazman Che Hassan 33'
Muhd Hadzirun Che Hamid 87'