2016-09-27
Juara bertahan, Kelantan melangkah bergaya ke separuh akhir menerusi agregat 4-0 selepas menewaskan pasukan tangga keempat Kumpulan B, Pahang 1-0 pada perlawanan suku akhir kedua Piala Presiden 2016 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang semalam.
Skuad kendalian Hashim Mustapha itu yang sebelum ini muncul juara Kumpulan A bakal berdepan Selangor selepas pasukan naib juara Kumpulan B kendalian Omar Ali itu bangkit membelasah Terengganu 4-0 di Padang SUK, Shah Alam untuk mara dengan agregat 4-3.
Juara Kumpulan B, Perak pula turut bangkit di laman sendiri apabila skuad kendalian Sayuddin Mohd Isa itu berjaya menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Perak, Ipoh untuk mara dengan agregat 2-1.
Menanti Perak di separuh akhir ialah pasukan tangga ketiga Kumpulan B, T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain yang berjaya menewaskan naib juara Kumpulan A, Johor Darul Ta'zim III 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk layak dengan agregat 2-1.
Keputusan perlawanan-perlawanan suku akhir ini menyaksikan hanya satu pasukan dari Kumpulan A berjaya layak ke separuh akhir iaitu Kelantan manakala baki tiga lagi pasukan dari Kumpulan B iaitu Perak, Selangor dan T-Team.
Separuh akhir pertama dijadual berlangsung pada Isnin ini, 3 Oktober dengan Kelantan melayan kunjungan Selangor manakala Perak menanti kehadiran T-Team sebelum aksi timbal balik berlangsung pada 12 Oktober ini.
Final Piala Presiden 2016 secara timbal balik pula dijadual pada 18 dan 25 Oktober ini.
KEPUTUSAN PENUH SEMALAM
KELANTAN 1
Muhammad Danial Ashraf Abdullah 78'
PAHANG 0
* Kelantan layak menerusi agregat 4-0
SELANGOR 4
Badrul Amin Rusalan 1'
Muhammad Faizzudin Mohd Abidin 41'
K Kannan 62'
Muhammad Syahmi Safari 81'
TERENGGANU 0
* Selangor layak menerusi agregat 4-3
PERAK 2
S Dhaya Naidu 13'
Abdul Razak Mastor 70'
KEDAH 0
* Perak layak menerusi agregat 2-1
JOHOR DARUL TA'ZIM III 0
T-TEAM 2
Mohd Zarulizwan Mazlan 27'
Mohamad Raimi Shair Muhamad 52'
* T-Team layak menerusi agregat 2-1