SIARAN MEDIA: PERTANDINGAN PIALA PRESIDEN & PIALA BELIA MUSIM 2021 BERFORMAT BARU

2021-03-05

Susulan keputusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kali ke-12 seperti yang diumumkan pada 12 Januari lalu, pihak FAM ingin memaklumkan bahawa format dua pertandingan di bawah kelolaan FAM iaitu Piala Presiden dan Piala Belia akan dijalankan dengan format baharu untuk musim 2021 sahaja.

Format kedua-dua pertandingan ini diubah selepas mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ketika ini selain seiring dengan pendekatan FAM dalam menjadikan tahun 2021 sebagai 'transitional year' atau tahun peralihan untuk mengemudi pertandingan-pertandingan di bawah kelolaan FAM untuk tahun ini selain untuk memastikan kesinambungan liga sehingga akhir musim.

Meskipun negara masih berhadapan dengan wabak ini, FAM dengan sukacitanya ingin memaklumkan sebanyak 19 pasukan telah menghantar pemohonan untuk menyertai Piala Presiden sementara sebanyak 20 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai Piala Belia musim 2021.  

Format pertandingan baharu Piala Presiden dan Piala Belia musim 2021 akan di kategorikan berdasarkan kedudukan geografi mengikut zon yang terdiri daripada zon Selatan, Barat, Utara, Timur dan Tengah (termasuk Sabah dan Sarawak) yang akan bermula Jun ini.

Pasukan-pasukan ini akan dibahagikan kepada tiga kumpulan di mana Kumpulan A akan dianggotai oleh pasukan-pasukan dari Zon Selatan, Barat dan Tengah; Kumpulan B dibarisi pasukan-pasukan dari Zon Utara dan Tengah manakala Kumpulan C disertai pasukan-pasukan dari Timur, Barat, Tengah.

Selain itu, format pertandingan baharu ini dilakukan untuk mengendalikan setiap kumpulan pasukan secara bebas antara satu sama lain bagi memastikan liga dapat ditamatkan dalam jangka masa yang ditetapkan lebih-lebih lagi di dalam waktu mencabar ini sekaligus dapat mengurangkan kos perjalanan pasukan antara negeri.

Format baharu kedua-dua pertandingan ini juga merangkumi peringkat kumpulan di mana pasukan teratas bagi ketiga-tiga kumpulan akan berentap di pusingan kalah mati setelah tamat peringkat kumpulan.

Untuk saingan Piala Belia, 16 pasukan terbaik terdiri daripada pasukan teratas Kumpulan A, pasukan teratas Kumpulan B dan pasukan teratas Kumpulan C serta satu pasukan terbaik tempat keenam dari Kumpulan A, B atau C akan bertemu pada Pusingan 16, dengan lapan pemenang akan mara ke Suku Akhir, seterusnya Separuh Akhir dan Final.

Perlawanan-perlawanan bagi Pusingan 16, Suku Akhir dan Separuh Akhir juga akan dijalankan dengan format satu perlawanan sahaja (tiada timbal balik) manakala Final akan berlangsung secara timbal balik.

Peraturan serta aplikasi format baharu ini dilihat digunapakai di peringkat antarabangsa bagi memastikan perkembangan pertandingan selain pasukan dapat meneruskan perlawanan susulan format pertandingan yang boleh mengelakkan penundaan dan pembatalan perlawanan.

Proses saringan dokumen pasukan kini berada di peringat akhir dan senarai pasukan serta jadual perlawanan buat kedua-dua pertandingan ini akan diumumkan pada awal April ini.