Majlis pengumuman penaja-penaja Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2019 telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis, 20 Jun 2019.
Empat penaja berkenaan adalah Yoodo, syarikat perkhidmatan telekomunikasi mudah alih digital; Joma, jenama bagi bola rasmi pertandingan; 100PLUS, minuman isotonik pertama di Malaysia dan Astro, penyiar rasmi siaran langsung perlawanan terpilih menerusi platform Astro Go.
Ia telah dihadiri oleh Naib Presiden FAM, Datuk Haji Rosmadi Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM serta wakil-wakil penaja terdiri daripada Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun; Pengurus Pemasaran Ganador Marketing, Choong Tuck Wai mewakili Joma; Pengurus Pemasaran Sukan dan Pengaktifan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Engku Isyamuddin Tuan Losin mewakili 100PLUS dan Ketua Bahagian Sukan Astro, CK Lee.