KEPUTUSAN PENUH UNDIAN PIALA FAM, PIALA PRESIDEN & PIALA BELIA 2017

2017-02-02

Majlis undian bagi pertandingan Piala FAM, Piala Presiden & Piala Belia 2017 telah berlangsung di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam pada hari ini.

 Ia dihadiri Setiausaha Agung FAM, Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin; Exco FAM, Dato' S Sivasundaram selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM serta Setiausaha Kehormat Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM), Supt Md Dali Wahid yang juga Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM.

 Turut hadir, wakil-wakil dari pasukan bertanding yang telah berkampung selama dua hari di Intekma Resort & Convention Centre sejak semalam bagi sesi taklimat pertandingan untuk musim 2017.

 Bagi saingan Piala FAM 2017, Kumpulan A menyaksikan Felcra FC kendalian Yusri Che Lah yang kandas pada separuh akhir musim lalu akan disaingi dua pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, KDMM FC dan MOF FC serta pasukan lain terdiri daripada Shahzan Muda, MPKB-BRI Ubes FC, Hanelang FC dan UKM FC serta pendatang baharu, KSDBKL.

 Kumpulan B pula tampak lebih sengit apabila juara 2010, Sime Darby FC kendalian Ahmad Yusoff yang kembali ke saingan Piala FAM selepas menduduki tangga tercorot Liga Premier musim lalu diundi bersama pasukan yang kandas pada separuh akhir musim lalu, AirAsia Allstars FC (masih dalam proses penukaran nama baharu, PJ Rangers FC) kendalian Mat Zan Mat Aris.

 Turut sama dalam Kumpulan B ialah dua pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, SAMB FC dan Sungai Ara FC serta dua pasukan baharu musim ini, Terengganu City FC dan Kuching FA.

 Dua baki pasukan dalam Kumpulan B ialah PBMS FC (musim lalu dikenali sebagai PBMM FC) dan Penjara FC.

 Musim lalu, MISC-MIFA telah muncul juara selepas menewaskan PKNP FC pada aksi final timbal balik. Kedua-dua pasukan itu kini beraksi dalam Liga Premier 2017.

 

 

Sementara itu, bagi saingan Piala Presiden 2017, Kumpulan A menampilkan juara bertahan, Kelantan diundi bersama tiga pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) III, Kedah dan Terengganu.

 Enam pasukan lain yang turut membarisi Kumpulan A terdiri daripada Sarawak, Melaka, Felda United FC, PDRM, Pulau Pinang dan UiTM FC.

 Kumpulan B pula menyaksikan naib juara musim lalu, T-Team bakal dicabar dua pasukan yang kandas pada separuh akhir musim lalu, Selangor dan Perak serta pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, Pahang.

 Turut diundi dalam Kumpulan B ialah Sabah, ATM, PKNS FC, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta pasukan baharu musim ini, PKNP FC.

 

 

Dalam pada itu, saingan Piala Belia 2017 pula menyaksikan dua semifinalis musim lalu, Kedah dan Kelantan diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, Pulau Pinang.

 Turut berada dalam Kumpulan A ialah JDT IV, Sarawak, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17, Terengganu dan Pahang serta dua pasukan baharu musim ini iaitu PKNS FC dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) B-17.

 Kumpulan B pula menampilkan naib juara musim lalu, Selangor bersama dua pasukan yang mara ke suku akhir musim lalu, Sabah dan Felda United serta Perlis, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Melaka, Perak dan pasukan baharu, SSTMI B-16.

 Musim lalu, pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 kendalian Reduan Abdullah telah muncul juara.

 

 

Bagi ketiga-tiga pertandingan Piala FAM, Piala Presiden & Piala Belia 2017, format musim lalu dikekalkan iaitu empat pasukan teratas setiap kumpulan selepas perlawanan liga dua pusingan akan layak ke peringkat kalah mati iaitu suku akhir, separuh akhir dan final yang akan dijalankan secara timbal balik.

 Saingan Piala FAM 2017 akan bermula 19 Februari ini (Ahad) diikuti Piala Presiden 2017 pada 23 Februari (Khamis) dan Piala Belia pada 26 Februari (Ahad).