2016-03-10
Felcra FC tidak mensia-siakan peluang merampas kedudukan tangga teratas Kumpulan A Piala FAM 2016 apabila menundukkan Sungai Ara FC 1-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam.
Muhammad Hafizi Mat Podzi muncul wira buat skuad kendalian ketua jurulatih Yusri Che Lah itu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-59 setelah permainan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.
Di Kompleks Sukan BSN, Bangi, pasukan tuan rumah, Megah Murni FC mengatasi pasukan Persatuan Bolasepak Ipoh 3-2 untuk meraih kemenangan sulung musim ini.
AirAsia Allstars FC (AAFC) pula bangkit dari kekecewaan tumpas kepada Sungai Ara FC di laman sendiri pada aksi kedua Piala FAM 2016 minggu lepas apabila menewaskan Penjara FC 3-0 di Stadium Mini Tampin, Negeri Sembilan.
Gol-gol AAFC dijaringkan oleh pemain bek kanan, Hazwan Rahman (m-36), Khairul Naim Mahyuddin (m-78) dan Mohd Faizwan Abdullah (m-86).
Sementara itu, pendahulu saingan Kumpulan B, MOF FC terus unggul di tangga teratas dengan sembilan mata penuh apabila menewaskan SAMB FC 3-2 di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Pemain sayap, Helmi Hariri Ibrahim meletakkan pasukan pelawat di hadapan seawal minit ke-3 sebelum SAMB FC membalas menerusi jaringan Ahmad Khusaini Piee pada minit ke-11 dan Mohd Yusri Abas pada minit ke-43.
Pemain gantian, Mohd Hafizi Amirudin muncul wira MOF FC apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 selepas bekas pemain kebangsaan, Mohd Nizad Ayub menyamakan kedudukan pada minit ke-51.
Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pula berpesta gol apabila membelasah Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia 5-0 di Stadium Mini UKM, Bangi manakala Kelab Bolasepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) menewaskan MPKB-BRI UBES FC 1-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
Satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan Hanelang FC menundukkan UKM FC 1-0 di Padang Astaka Kuala Berang, Terengganu menerusi jaringan Mohd Rahmat Makasuf pada minit ke-65.
FOTO KREDIT: FELCRA FC