SIARAN MEDIA: KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM KALI KEEMPAT BAGI PENGGAL 2021-2025

2022-03-24

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin ini telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Antara keputusan yang telah dicapai Jawatankuasa Eksekutif FAM adalah seperti berikut:

 

PENGANJURAN PERTANDINGAN ANTARABANGSA

 

Malaysia mendapat hak penganjuran beberapa kejohanan antarabangsa di bawah naungan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), iaitu:

 

LIGA JUARA-JUARA ASIA AFC (TIMUR)/AFC CHAMPIONS LEAGUE (EAST) 2022

  • Pasukan tuan rumah Johor Darul Ta’zim (JDT) MALAYSIA
  • Pasukan pelawat Kawasaki Frontale JEPUN
  • Guangzhou FC CHINA
  • Ulsan Hyundai (KOREA SELATAN)
  • Tarikh pertandingan 15 April- 30 April 2022
  • Venue pertandingan Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos
  • Format pertandingan Liga 2 pusingan secara berpusat

 

PIALA AFC (ASEAN) 2022

  • Pasukan tuan rumah Kuala Lumpur City FC MALAYSIA
  • Pasukan pelawat Tampines Rovers SINGAPURA
  • PSM Makassar INDONESIA
  • Tarikh pertandingan 24 – 30 Jun 2022
  • Venue pertandingan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur
  • Format pertandingan Liga satu pusingan secara berpusat

 

PUSINGAN AKHIR KELAYAKAN PIALA ASIA AFC CHINA 2023

  • Sepertimana kita semua maklum, bidaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi salah satu kumpulan untuk pusingan akhir kelayakan Piala Asia AFC China 2023 telah diterima oleh AFC.
  • Kumpulan E membabitkan Malaysia, Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.
  • Pertandingan dijalankan secara liga satu pusingan;
  • Melibatkan 6 perlawanan secara keseluruhan di mana setiap pasukan akan bermain sebanyak 3 perlawanan;
  • Johan kumpulan dan 5 pasukan Naib Johan terbaik dari peringkat kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC di China pada 2023.
  • Venue Stadium Nasional Bukit Jalil adalah merupakan venue utama sementara Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur akan bertindak selaku venue standby.
  • Butiran lain akan diputuskan oleh Jawatankuasa Penganjuran Pertandingan (LOC) yang bakal dibentuk oleh FAM.

 

BOLA SEPAK WANITA

 

KEJOHANAN BOLA SEPAK WANITA AFF 2022

Latihan pusat bagi menghadapi saingan di Filipina akan bermula pada 13 hingga 30 Jun 2022 bertempat di Wisma FAM.

Seramai 30 orang pemain akan menjalani latihan pusat dan seterusnya menyertai pertandingan dari 1 hingga 14 Julai 2022.

 

KEJOHANAN BOLA SEPAK WANITA BAWAH 18 TAHUN AFF 2022

Pasukan kebangsaan bawah 18 tahun akan menyertai pertandingan dari 16 hingga 30 Julai 2022 di Indonesia. Latihan pusat bagi menghadapi saingan akan melibatkan 30 pemain dan bermula pada 1 hingga 13 Julai 2022 bertempat di SSMP, Gambang.

 

KEJOHANAN BOLA SEPAK WANITA BAWAH 15 TAHUN AFF

Pasukan kebangsaan bawah 15 tahun akan terlibat dalam pertandingan di Indonesia dari 15 hingga 29 Ogos 2022. Untuk kejohanan ini, latihan pusat yang melibat seramai 30 pemain akan diadakan di SSMP, Gambang dari 1 hingga 14 Ogos 2022.

 

LIGA WANITA NASIONAL (LWN)

Cadangan asal iaitu untuk memulakan saingan LWN pada bulan Mac 2022 terpaksa ditangguhkan ke bulan Mei 2022 disebabkan oleh penyertaan pasukan yang tidak seimbang.

 

PIALA TUN SHARIFAH RODZIAH

Johan peringkat Zon dan tiga (3) pasukan Naib Johan terbaik dari peringkat Zon akan layak ke Piala Tun Sharifah Rodziah yang bakal diadakan pada bulan Ogos 2022 iaitu selepas berakhirnya Kejohanan Bola Sepak Wanita AFF.

Sebagai usaha membudayakan bola sepak dalam kalangan wanita, FAM bersetuju membenarkan penyertaan pasukan secara terus tanpa memerlukan sokongan daripada PB Negeri. Perkara ini dilihat penting atas justifikasi berikut:

  • Dasar yang sedia ada telah menyukarkan penyertaan secara lebih meluas;
  • Bola Sepak Wanita masih lagi di peringkat pembangunan dan adalah wajar penyertaan tanpa perlu melalui proses birokrasi dilaksanakan;
  • Pembangunan di peringkat kelab dan universiti lebih aktif berbanding dengan PB Negeri.

 

PELANCARAN PELAN PEMBANGUNAN BOLA SEPAK WANITA NEGARA

Pelancaran Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita Negara akan diadakan pada 14 Mei 2022 iaitu serentak dengan sambutan AFC’s Women’s Day.

 

PERKEMBANGAN TEKNIKAL

 

Susulan laporan bedah siasat badan siasatan bebas Januari lalu, FAM akan mengambil khidmat ahli fisiologi secara sepenuh masa, pakar psikologi dan ahli pemakanan secara separuh masa bagi memperkasakan unit prestasi tinggi di bawah Jabatan Teknikal.

Semua kakitangan khidmat sokongan akan bekerjasama dengan Pengurus Prestasi Tinggi untuk mengumpul keputusan ujian, analisis perlawanan, data GPS, laporan kecederaan dan penyimpanan data secara berpusat untuk perbandingan dan perancangan akan datang.

Selaras dengan pembangunan modal insan dalam Konvensyen Kejurulatihan AFC, pemegang lesen kejurulatihan akan diminta untuk memperbaharui lesen mereka setiap tiga tahun dan diminta menghadiri bengkel atau kursus penyegaran.

 

TADBIR URUS FAM

 

PELAN STRATEGIK F:30 KITARAN KEDUA

Jawatankuasa Eksekutif turut dimaklumkan mengenai garis masa yang melibatkan perancangan untuk membangun dan menyusun semula Pelan Strategik F:30 bagi kitaran ke-2 yang bakal bermula pada tahun 2023.

Dengan mengambil kira elemen yang terjejas oleh COVID-19 serta input daripada pemegang taruh bagi penambahbaikan Perincian dan pemuktamadan objektif strategik dengan fokus pada keutamaan dan kebolehlaksanaan, Pelan Strategik Kitaran Kedua dijangka dilancarkan pada Jun 2022.

FAM juga bersetuju menjadikan PB Perlis sebagai calon projek perintis Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE) 2.0.

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Khamis, 24 Mac 2022